Wednesday, July 8, 2015



Isu tuduhan wang 1MDB ini mudah saja, hanya perlu sahkan sama ada akaun itu wujud atau tidak. Sekarang Perdana Menteri sibuk saman menyaman pula.
4 JULAI 2015
AMBANK DAN BANK NEGARA MALAYSIA BOLEH SAHKAN BAHAWA KEWUJUDAN AKAUN “DATO’ SERI NAJIB TUN RAZAK”
Ekoran dari pendedahan oleh Asian Wall Street Journal (AWSJ) dan Sarawak Report (SR) bahawa sejumlah RM2.6 bilion (pada kadar tukaran matawang terkini) atau USD692 juta telah dipindahkan dari 1MDB dan anak syarikat 1MDB ke akaun peribadi milik Dato’ Seri Najib Tun Razak, kedua-dua pihak sekarang saling mempertahankan fakta dan pendirian masing-masing.
AWSJ dilaporkan menyatakan di dalam satu temuramah di Hong Kong bahawa maklumat yang mereka perolehi adalah tepat dari satu siasatan rasmi mengenai 1MDB. Dato’ Seri Najib Tun Razak pula dilaporkan menafikan pernah mengambil wang bagi tujuan peribadi.
Perkara ini boleh diputuskan dengan mudah melalui satu kaedah iaitu mengesahkan sama ada akaun di Ambank di bawah nama “Dato’ Seri Najib Tun Razak” itu benar-benar wujud atau tidak.
Sebelum ini, saya telah menyebut bagaimana 3 kakitangan pengurusan tertinggi Ambank telah ditukarkan kerana pemegang saham bank itu tidak puas hati dengan keterlibatan Ambank di dalam isu-isu membabitkan 1MDB. Pendedahan AWSJ dan SR bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak mempunyai satu akaun di bank itu yang menerima pemindahan wang sejumlah RM2.6 bilion menimbulkan kembali persoalan sejauh mana keterlibatan Ambank di dalam urusan berkenaan 1MDB dan Dato’ Seri Najib Tun Razak.
Oleh yang demikian, untuk membersihkan namanya Ambank perlu mengesahkan atau menafikan sama ada akaun bernombor seperti yang didedahkan oleh AWSJ di bawah nama Dato’ Seri Najib Tun Razak itu benar-benar wujud. Ini akan memberi gambaran paling baik kepada rakyat sama ada Dato’ Seri Najib Tun Razak benar-benar terlibat dalam mengambil dana milik rakyat seperti yang didedahkan oleh AWSJ dan SR itu.
Saya pasti jika Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak ada apa-apa yang hendak disembunyikan, cara terbaik untuk mematikan serangan ke atas kredibiliti beliau ini ialah dengan membenarkan Ambank (atau mana-mana bank di negara ini) mendedahkan secara keseluruhan setiap bank akaun yang pernah beliau buka sejak menjadi Perdana Menteri dalam tahun 2009.
Jika terbukti bahawa akaun di Ambank seperti yang didedahkan oleh AWSJ dan SR itu tidak wujud, maka dengan mudah sahaja Dato’ Seri Najib Tun Razak boleh menghentikan isu terbaru ini.
Saya juga menyeru supaya Bank Negara Malaysia menggunakan semua kuasanya di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan untuk merungkai kontroversi ini dengan mengesahkan sama ada akaun yang nombor dan namanya didedahkan oleh ASWJ dan SR itu benar-benar wujud.
Jika ia tidak wujud, perkara ini tidak perlu dipanjangkan.
Jika ia wujud, maka satu siasatan segera perlu dibuat dan Dato’ Seri Najib Tun Razak perlulah bercuti dan seorang pemangku Perdana Menteri boleh mengambilalih pentadbiran Kerajaan Persekutuan sementara siasatan sepenuhnya diadakan.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

No comments:

Post a Comment