Relevankah
peranan institusi zakat kepada OKU? – Ram Al Jaffri Saad
Pendedahan mengenai isu seorang remaja Orang Kurang
Upaya (OKU), adik Muhammad Firdaus Dullah oleh media massa mendapat perhatian
ramai. Ia menzahirkan rasa marah, geram dan keliru masyarakat dengan apa yang
terjadi.
Sebelum ini kita
mungkin sudah biasa dengan pendedahan kes penderaan kanak-kanak, namun kali ini
ia agak berbeza. Kes ini agak unik memandangkan ia melibatkan ibu dan anak
kandung. Sudah puas penulis cuba bersangka baik dalam hal ini namun akhirnya
setelah pendedahan demi pendedahan dilakukan, perasaan itu tidak mampu
dipertahankan lagi.
Setelah pendedahan ini
dilakukan, ramai pihak cuba menuding jari kepada agensi dan badan tertentu
tentang peranan mereka untuk membela golongan teraniaya ini. Pihak seperti
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan institusi zakat merupakan antara yang
mendapat kritikan hebat.
Namun, selang beberapa hari selepas peranan JKM diperlekehkan, muncul
wakilnya yang bertindak mempertahankan agensi mereka. Setidak-tidaknya
masyarakat digesa hadir sendiri ke pejabat JKM bagi mengetahui aktiviti yang
mereka lakukan.
Anehnya, sepanjang
pembacaan penulis, tiada seorang pun wakil daripada institusi zakat di seluruh
negara bangun mempertahankan institusi mereka. Ini menyebabkan masyarakat
tertanya-tanya apakah peranan institusi zakat dalam hal ini.
Antara persoalan yang
timbul, adakah benar institusi zakat gagal memainkan peranan mereka? Adakah
benar dakwaan mengenai pegawai zakat hanya berpeluk tubuh duduk di kerusi empuk
pejabat yang dilengkapi hawa dingin tanpa turun padang mencari asnaf untuk
dibantu?
Penulis percaya dan
yakin banyak kejayaan dicapai oleh institusi zakat. Masyarakat tidak boleh
menafikan hal ini. Dengan kutipan yang mencecah lebih RM1 bilion setiap tahun,
tentu banyak manfaat diperolehi golongan asnaf yang memerlukan.
Berjuta-juta ringgit
diberikan melalui program yang dilaksanakan dalam membantu golongan asnaf.
Bentuk agihan juga ditransformasi dalam memastikan bantuan yang diberikan mampu
mengubah taraf hidup asnaf. Mudah-mudahan suatu hari nanti mereka akan keluar
daripada menjadi asnaf zakat kepada menjadi pembayar zakat.
Dakwaan pegawai zakat
tidak turun padang adalah sesuatu yang silap. Berdasarkan pemerhatian dan
pengalaman penulis bersama rakan di beberapa institusi zakat, penulis berani
mengatakan mereka sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk masyarakat. Banyak
program turun padang yang dilakukan.
Sebagai contoh, Pusat
Zakat Negeri Sembilan (PZNS) pernah menganjurkan program konvoi kembara zakat
bagi memberikan bantuan secara terus kepada asnaf dengan membuat kunjungan ke
rumah mereka. Antara bentuk bantuan yang diberikan adalah bantuan perubatan,
barang keperluan harian, kerusi roda serta katil untuk kegunaan asnaf yang
memerlukan. Konvoi tersebut bukan sahaja disertai oleh pusat zakat malah turut
bersama-sama mereka adalah baitulmal negeri dan pusat kaunseling.
Selain itu, Jabatan
Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan kerjasama Majlis Agama Islam
Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri-Negeri mengadakan Konvoi Kembara Zakat
Kebangsaan di seluruh negara pada tahun lepas. Antara institusi zakat yang
mengambil bahagian ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Pusat Pungutan Zakat
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Pusat Zakat Melaka dan
Majlis Agama Islam Johor.
Penganjuran konvoi
tersebut bertujuan menghebahkan aktiviti agihan zakat kepada masyarakat. Dengan
itu, ukhuwah antara institusi zakat dan para asnaf zakat juga dapat dipupuk dan
diperkukuhkan.
Penulis juga mengkagumi
usaha pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang
sanggup mengayuh basikal mengelilingi seluruh negeri bagi menyalurkan bantuan
zakat.
Dalam program kayuhan
basikal tersebut, pegawai zakat membawa bantuan bersama-sama mereka dan terus
memberikan bantuan tersebut apabila mereka bertemu asnaf di kampung atau taman
perumahan.
Usaha ini sedikit
sebanyak membuktikan institusi zakat turun padang bagi menjejaki asnaf. Usaha
ini juga menunjukkan mereka sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada
sesiapa sahaja yang memerlukan pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, di
sebalik usaha yang dijalankan ini, penulis berpandangan masih ada ruang
kelemahan yang boleh diperbaiki. Institusi zakat disaran perlu lebih proaktif
dalam mendepani isu semasa masyarakat.
Sebagai contoh,
takrifan semula asnaf zakat bagi orang OKU perlu dilakukan. Pada masa ini, OKU
bukanlah tergolong sebagai asnaf zakat kecuali sekiranya mereka tergolong
sebagai fakir miskin. Jika takrifan baharu golongan asnaf riqab sebagai
golongan yang terperangkap dalam isu sosial boleh dilaksanakan, mengapa tidak
bagi golongan OKU?
Institusi zakat juga
boleh mewujudkan pusat jagaan khas untuk golongan ini. Penulis dimaklumkan ada
gereja dan NGO Kristian yang menyediakan pusat penjagaan dan perlindungan untuk
golongan OKU di negara kita. Justeru, sudah pasti ramai pembayar zakat di luar
sana menginginkan langkah yang sama dituruti dan dijuarai oleh institusi zakat.
Sebagai kesimpulannya,
isu OKU adalah isu nasional yang wajar diberikan perhatian oleh semua pihak.
Isu ini janganlah hanya sekadar bermusim. Ia perlu sentiasa diberi perhatian
serius.
Bagi institusi zakat,
ingatlah masyarakat menyanjung tinggi usaha yang dilakukan. Namun, adalah
menjadi harapan agar institusi ini menjadi lebih proaktif. Semoga masalah ini
tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.
* Penulis ialah
Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Utara
Malaysia.