1001 MISTERI BUKIT PUTUS
BUKIT Putus, bukan setakat penduduk Negeri
Sembilan kenal dengan nama gah ini, malah masyarakat luar juga mengetahui
tentangnya. Seperti ular kena palu, begitulah rupa paras jalan yang satu ketika
dahulu menjadi laluan utama dari Seremban ke Kuala Pilah. Tapi apabila jalan
baharu sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009, jalan
berkelok 32 itu, dari hari ke hari semakin ditinggalkan sepi. Namun Bukit Putus
ada menyimpan 1001 rahsia. Dari cerita mistik hinggalah perancangan untuk menceriakan
kembali laluan itu. Tidak menepati kehendak! Itu respons editor selepas gambar
dikirim kepadanya. Sekali lagi saya perlu ziarah kawasan itu.
Rasanya belum
sampai pun suku perjalanan, dari jauh kelihatan sekumpulan anjing dan monyet di
tengah-tengah jalan. Ini peluang baik! Tapi apabila kereta semakin menghampir,
kumpulan binatang itu cabut lari ke dalam hutan di kiri dan kanan. Hati terasa
rugi kerana tidak dapat merakam gambar 'mereka'. Saya matikan enjin lalu keluar
dari kereta dan kemudian menjengah di tepi lembah yang penuh dengan pokok-pokok
tinggi. Mana tau kalau-kalau kumpulan monyet tadi ada di situ, ada juga rezeki
untuk merakam aksinya sedang bergayutan. Hampa. Hanya suara nyaring sang monyet
sahut menyahut dari kejauhan yang kedengaran. Anjing-anjing tadi pula entah
hilang ke mana. Mata meliar memerhati kiri dan kanan. Tiba-tiba datang deru
angin agak kuat dari arah belakang. Riuh suara monyet tidak kedengaran lagi.
Suasana jadi sunyi sepi. Dan sepantas itu juga jantung berdegup laju. Bulu roma
menegak, saya terasa seram... Bukit Putus saya tinggalkan. Maaf puan editor.
Saya gagal untuk merakam gambar dikehendaki kerana seram yang saya rasa
mengatasi segalanya. Ya, rasa seram itu benar-benar muncul waktu kali kedua
saya ke Bukit Putus untuk tugasan laporan khas kali ini.
Legenda raksasa
bergaduh Sehingga hari ini bagaimana wujudnya nama Bukit Putus masih tidak
diketahui dengan jelas. Hanya satu saja kisah legenda yang pernah sampai ke
telinga pada zaman kanak-kanak dahulu. Nenek pernah bercerita kononnya dulu ada
kejadian raksasa bergaduh hingga berparang. Dalam pergaduhan itu, salah satu
raksasa tersebut yang mahu menetak lawannya tertetak bukit tersebut sehingga
terputus-putus dan kerana itu ia dinamakan Bukit Putus. Laluan berusia lebih 40
tahun itu tidaklah terlalu panjang.
Hanya lapan kilometer sahaja. Empat
kilometer ke puncak dan empat kilometer lagi ke kaki bukit. Laluan berliku dan
berbukit ini kurang disukai pemandu. Selekohnya tajam. Jalannya sempit.
Mengerikan bagi pemandu baharu yang baru pertama kali melaluinya. Mengenang
Bukit Putus juga boleh menjadikan bulu roma meremang kerana banyak cerita
mistik tersebar dari mulut ke mulut. Antaranya kisah seorang lelaki mengilai
tanpa kepala di satu pokok besar dekat sebatang selekoh. Ada juga yang nampak
sekumpulan manusia sedang berjalan mengusung keranda membawa obor dan ada juga
yang melihat ‘pocong’ berdiri di kaki bukit. Cerita bantal peluk bergolek
mengejar kenderaan, bebola api berterbangan di sekitar jalan, gerai misteri
yang berniaga di tengah malam sehinggalah cerita terlihat sepasang manusia
lelaki dan wanita melapah daging monyet di selekoh yang terdapat juraian air
bukit. Kereta tiba-tiba jadi berat "Waktu itu tahun 2002,
jam 2.30 pagi
dari arah Seremban. Masa itu, jalan lengang langsung tiada kereta atau lori.
Saya pun tidak fikir apa-apa, sehinggalah berhampiran Kem Pengakap sebelah
kiri, tiba-tiba kenderaan saya jadi berat. Memang nak naik ke jalan itu agak
payah," kata Ismail Shah Abd Samad. Katanya, dia hanya terfikir keretanya
rosak kerana kenderaan itu sering meragam. "Saya pun lihat cermin pandang
belakang, untuk lihat kalau ada kenderaan lain untuk minta bantuan. Tetapi apa
yang saya nampak, objek berwarna putih dan samar-samar di bonet belakang
kereta. Automatik menggigil satu badan. "Saya teruskan perjalanan, baca
ayat Kursi tetapi secara tiba-tiba bau wangi kapur barus pula datang. Memang
sangat seram waktu tu. Bila tiba puncak Bukit Putus, terdengar bunyi angin kuat
dan tiba-tiba juga kereta saya menjadi ringan. "Itulah peristiwa paling
saya tidak boleh lupakan sehingga kini. Saya pernah berbual dengan pemandu lori
di hentian rehat Ulu Bendul dan mereka beritahu, jam 2 pagi hingga ke 4 pagi,
jalan itu akan diganggu Pontianak." Perempuan bersama tiga anak
“Ini
cerita tahun 90-an dulu. Masa tu, saya bertugas dalam JPAM. Saya berulang alik
dari Felda Kepis ke Seremban. Kejadian itu berlaku selepas selesai habis
bertugas. Saya gerak dari JPAM jam 12.30 tengah malam dan tiba laluan kedua
selekoh jam 1 pagi dari Seremban. "Tempatnya di kawasan kebun durian dekat
selekoh paling tajam di jalan lama Bukit Putus. Masa itu naik kereta. Sebelum
ini, kawan ada bagi tahu laluan itu agak scary tapi saya tidak percaya.
"Hinggalah, pada malam itu, saya ternampak seorang perempuan berjalan di
tengah jalan bersama tiga anaknya dan seorang didukung. Perasaan ketika itu,
hanya ALLAH SWT yang tahu. Takkanlah, jam 1 pagi ada orang di kawasan itu dan
di situ tiada rumah. Memang seram sejuk waktu itu. Saya teruskan perjalanan
seperti biasa tanpa menegur perempuan itu." kata Shahrudin Abd Halim.
Orang usung keranda "Sesiapa yang 'bernasib baik' sahaja akan diganggu
oleh makhluk halus. Saya dahulu berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah
kerana bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya. Pernah diganggu lampu
kereta tiba-tiba terpadam dan radio turut senyap. Waktu itu jam 1 pagi.
"Bila dikacau, saya teruskan perjalanan macam biasa. Dan ternampak pula
sekumpulan orang mengusung keranda. Saya lega bila lihat ada orang ramai.
"Perasaan takut mula hilang. Namun bila tiba puncak bukit, tiba-tiba saya
terfikir, di selekoh ketiga itu mana ada rumah orang dan baharulah saya
tersedar, mungkin apa yang saya lihat bukan orang sebenar.” kata Mashitah
Idris. Jalan sunyi kenderaan berkurangan Biarpun bilangan kenderaan menggunakan
jalan Bukit Putus semakin berkurangan, malah boleh dikatakan sudah tiada, kisah
mistik dan misteri itu masih terus disebarkan.
Bagaimanapun, selepas jalan
baharu yang lebih pendek dan lurus dibuka dan kenderaan yang melalui jalan
Bukit Putus semakin berkurangan, ada ura-ura untuk menjadikan laluan ini
sebagai tempat riadah dan rekreasi. Namun sehingga hari ini, tidak kelihatan
apa-apa usaha dilakukan. Bukit Putus sudah jadi laluan sunyi. Bukan setakat
manusia dan kenderaan, malah monyet dan kera yang dahulunya kelihatan banyak di
tepi-tepi jalan setiap kali melalui laluan itu, kini sudah tiada. Kalau dulu
‘mereka’ amat suka berpelesiran di tepi jalan, kini sudah tidak nampak bayang.
Mungkin dulu ada saja pemandu yang melempar makanan untuk mereka menjadikan
mereka gemar keluar di tepi jalan menunjukkan muka. Tapi sekarang, tak siapa
yang datang melihat lagi.
Khabarnya, polis juga tidak menggalakkan pemandu
melalui laluan ini terutama waktu malam kerana ada kes samun berlaku di sini.
Berpotensi jadi tarikan pelancong Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad
Taufek Abd Ghani berharap kerajaan negeri dapat membuat kajian terperinci
terhadap laluan lama Bukit Putus, untuk dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong.
Secara peribadi katanya, lokasi tersebut agak menarik berikutan keadaannya yang
dilitupi kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan jalan, ditambah kewujudan
beberapa dusun buah-buahan dan sebuah restoran di situ.
“Pada hemat saya,
laluan itu sesuai dijadikan sebagai kawasan agro pelancongan atau sukan lasak
misalnya maraton, longboard, berbasikal, rock climbing, meredah hutan, mendaki
bukit dan pelbagai lagi. “Ditambah laluan berliku dan mencabar, pastinya mampu
menggamit penyertaan atlet antarabangsa. Memang rugi kalau dibiarkan sebab lokasi
itu mudah diakses menggunakan laluan baharu, selain terletak berdekatan
Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas),” katanya. Pengerusi PKR Negeri Sembilan,
Aminuddin Harun nyata sependapat dengan Mohamad Taufek, cuma berharap
segelintir aspek dapat dipertingkatkan lagi jika cadangan sedemikian menjadi
realiti. “Selain menaiktaraf kualiti jalan, beberapa kemudahan asas perlu
dibina untuk orang ramai. Penguatkuasaan juga mesti proaktif bagi memastikan
keselamatan pengunjung terjamin kelak. “Bila ada pengunjung, secara tidak
langsung boleh memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk menambah
pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan di sepanjang laluan penuh
bersejarah itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment