Sejarah Penggunaan Wang Kertas
Sebelum kita memasuki perbincangan ini dengan lebih mendalam,
sebaiknya kita telusuri sejarah penggunaan wang kertas terlebih dahulu.
Kita biasa menggambarkan bahawa wang yang digunakan oleh
masyarakat silam adalah syiling emas mahupun perak sebagaimana yang sering
disajikan di dalam filem dan penulisan klasik. Begitu juga jika kita mengamati
sirah Nabi Muhammad s.a.w mahupun al-Quran dan himpunan hadith, kita tidak akan
terlepas daripada membaca berkenaan penggunaan dinar (emas) dan dirham (perak)
di dalam urus niaga ketika zaman tersebut. Persoalannya disini, bilakah
bermulanya penggunaan wang kertas?
Penggunaan emas dan perak telah digunakan secara meluas dan
diterima pakai sebagai mata wang hampir di seluruh dunia berikutan nilai yang
tersimpan di dalam logam berharga itu sendiri. Ibn Khaldun di dalam Muqaddimah
turut menukilkan berkenaan penggunaan emas dan perak sebagai medium perantaraan
jual beli dan penyimpan nilai usaha dan kekayaan manusia:
“Allah telah menciptakan dua jenis logam, iaitu emas dan perak
sebagai ukuran nilai bagi semua pengumpulan modal. Penduduk dunia menganggapnya
sebagai harta dan kekayaan. Meskipun apabila berada dalam keadaan-keadaan
tertentu, barang-barang lain dikehendaki, ia tidak lain daripada mencapai
tujuan yang pada matlamatnya adalah untuk memperoleh emas dan perak. Semua
barangan lain terdedah kepada turun naik harga pasaran, sementara emas dan
perak adalah terkecuali. Emas dan perak menjadi dasar keuntungan, harta dan
kekayaan.”
Walaubagaimanapun, emas dan perak mempunyai kelemahan yang
ketara iaitu kesukaran untuk membawanya di dalam kuantiti yang banyak dan wujud
kebimbangan terhadap jaminan sekuritinya semasa di dalam perjalanan yang jauh.
Perkembangan ekonomi dan aktiviti perdagangan yang menuntut kepada penggunaan
wang dalam nilai yang besar telah membawa kepada inovasi penciptaan wang
kertas. Pada permulaan penggunaannya, ‘wang kertas’ tersebut tidak dikira
sebagai mata wang. Ianya hanya sebagai dokumen bukti atau resit bagi mewakili
nilai emas atau perak yang dimiliki oleh pendeposit. ‘Wang kertas’ dihasilkan
oleh individu atau institusi yang diamanahkan untuk menjaga emas dan perak
tersebut.
Penggunaan wang kertas mula dikesan pengamalannya di China pada
seawal abad ke-7 masihi. Manakala, negara barat pula mula menggunakannya
sekitar 1000 tahun selepasnya dan penghasilan wang kertas di dunia Islam pula
hanya bermula pada tahun 1850 semasa pentadbiran Khilafah Turki Uthmaniyyah.
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, masyarakat dunia umumnya
menerima emas dan perak sebagai duit. Penggunaan wang kertas pada mula
pengenalannya tidaklah sepenuhnya menenggelamkan peranan emas dan perak. Wang
kertas hanya mewakili simpanan emas atau perak dan boleh dituntut di bank
dengan menukarkannya. Ketika itu, nilaian mata wang diikat dengan emas
(gold-standard).
Akan tetapi, peredaran masa telah membawa kepada dominasi
penggunaan wang kertas berbanding syiling emas atau perak itu sendiri.
Keyakinan pengguna terhadap keupayaan saling-tukaran wang kertas dengan emas
atau perak telah dikhianati oleh bank apabila penghasilan duit kertas telah
melebihi simpanan emas sepertimana yang pernah terjadi pada tahun 1759 di England.
England merupakan antara negara pertama yang meleraikan ikatan
mata wangnya daripada emas pada tahun 1931 lanjutan daripada krisis ekonomi
yang melanda dunia barat (Great Depression). Pada tahun 1944, konferens Bretton
Wood dianjurkan sebagai medium perbincangan untuk mengstrukturkan semula polisi
kewangan dunia pasca perang dunia kedua. Hasilnya, mata wang dollar kemudiannya
secara tidak langsung telah memainkan peranan sebagai mata wang dunia. Semua
mata wang telah diikat dengan dollar, manakala dollar pula diikat kepada emas
dengan kadar nilai 1 dollar bersamaan 35 oz emas.
Percetakan dollar yang melangkaui nilai rizab emas yang dimiliki
oleh Amerika Syarikat (AS) pasca perang Vietnam telah mendorong AS untuk
mengakhiri ikatan mata wangnya dengan emas secara persetujuan sehala
(uni-lateral) pada tahun 1971. Sejak daripada itu, mata wang di seluruh dunia
tidak lagi didokong nilai komoditi berharga. Tindakan presiden Nixon pada tahun
1971 itu telah membuka lebaran sejarah yang baharu di dalam sejarah pengamalan
kewangan global iaitu dengan bermulanya zaman penggunaan wang fiat. Dinamakan
fiat kerana merujuk kepada sifat wang itu yang tidak disandarkan nilainya pada
apa-apa komoditi melainkan hanya anggapan semata-mata.
Sejak nilai mata wang telah diapungkan nilainya bergantung
kepada kondisi pasaran, ianya mudah terdedah kepada risiko spekulasi dan
ketidakstabilan. Perlaksanaan sistem Fractional Reserve yang menjadi asas
kepada penghasilan wang kertas pula telah membawa implikasi yang lebih teruk
apabila ianya menjadi faktor utama kepada inflasi.
No comments:
Post a Comment