Sunday, June 21, 2015

Kerajaan membalas budi TABUNG HAJI menerusi 1MDB?

Pada awal bulan Mei negara dikejutkan dengan pendedahan satu urusniaga yang melibatkan duit tabungan pencarum Tabung Haji. 

Urusniaga sulit yang terbongkar itu, pada mulanya, melibatkan lebih dari TUJUH RATUS JUTA RINGGITduit orang Islam Malaysia yang mencarum sebagai tabungan untuk membiayai ibadah Haji mereka. 

Terkejut dengan terbongkarnya urusniaga sulit diantara Tabung Haji dengan 1MDB itu, yang diluluskan oleh Menteri berkenaan dalam jangkawaktu tidak sampai dua minggu, yang ada pihak yang pada mulanya menangkis pendedahan itu sebagai fitnah semata-mata tetapi kurang dari 24-jam kemudian berita itu disahkan. 

Pelbagai putar-belit dan lenggok bahasa digunapakai selepas itu untuk mengaburi mata rakyat akan urusniaga sulit yang pada asasnya hanya satu tindakan untuk menyelamat atau bailout syarikat bermasalah 1MDB. 

Walaupun dokumen urusan sulit Tabung Haji dengan 1MDB Real Estate Sdn Bhd menyebut jumlah duit pencarum Tabung Haji yang akan digunakan dalam urusniaga itu adalah lebih kurang 770 JUTA RINGGIT, pihak Lembaga Tabung Haji menafikan jumlah itu dengan berkata hanya sejumlah Ringgit Malaysia 188.5 JUTA sahaja yang telah dibayar untuk sebidang tanah di Tun Razak Exchange - TRX. 
(Dokumen mendedahkan harga yang dipersetujui adalah 194 JUTA RINGGIT tetapi Lembaga Tabung Haji mendakwa mereka diberi potongan harga oleh 1MDB)

Pembayaran untuk satu lagi bidang tanah yang dinilai melebihi 578 JUTA RINGGIT MALAYSIA belum dimuktamadkan dan hanya diperingkat cadangan, kata Lembaga Tabung Haji ketika itu. 

Persoalan yang wujud dihati dan benak fikiran rakyat Malaysia, YANG WARAS, kenapa Tabung Haji bersetuju menggunakan duit tabungan pencarum untuk satu urusniaga yang jelas tidak masuk akal. 

Kenapa ianya tidak masuk akal? 

1. Tanah yang dibeli oleh Tabung Haji, dengan membayar jumlah penuh RM 188.5 JUTA dengan serta-merta ketika urusan jual beli atau S&P ditandatangani, adalah pada asalnya tanah milik kerajaan yang dikurniakan kepada 1MDB dengan harga tidak melebihi 5 JUTA RINGGIT. 

2. 1MDB hanya menjadi 'pemilik' tanah tersebut untuk jangkawaktu lebih kurang 5 tahun sahaja.  

3. Kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Najib Razak -yang juga individu bertanggungjawab melahirkan 1MDB merangkap Menteri Kewangan dan Ketua Penasihat 1MDB mengurniakan tanah tersebut kepada 1MDB dengan alasan tanah itu akan digunakan untuk 'strategic development' atau pembangunan strategik yang diterajui 1MDB.

4. Tanah itu tidak 'dikurniakan' kepada 1MDB supaya syarikat bermasalah itu boleh membuat keuntungan atas angin (kerugian buat Kerajaan) dengan menjadi broker tanah kelas atasan.

5. Jika syarikat bermasalah yang bergelumang dengan hutang dan merosakan nama negara diseluruh dunia boleh dikurniakan tanah kerajaan untuk hanya 5 JUTA RINGGIT kenapa harus TABUNG HAJI membayar tambahan 183.5 JUTA RINGGIT untuk tanah yang sama?

6. Jika 1MDB yang baru muncul sekitar tahun 2009 layak untuk anugerah tanah kerajaan, kenapa tidakTabung Haji - berusia 52 TAHUN, yang telah banyak berjasa kepada rakyat, negara dan Kerajaan Barisan Nasional ini? 

7. Apakah sumbangan besar 1MDB sehingga layak menerima layanan istemewa ini berbanding sumbangan serta sokongan Tabung Haji dari pelbagai segi, terutamanya sokongan dana pelaburan untuk membangunkan masyarakat selari dengan agenda Kerajaan selama lebih 50 tahun? 

8. Tidak dapat dinafi Kerajaan sebenarnya terhutang budi dengan Tabung Haji kerana bebas 'meminjam' dana Tabung Haji untuk projek-projek pembangunan negara selama ini. Apakah untuk membalas jasa ini kerajaan bersekongkol dengan broker tanah untuk menipu Tabung Haji? 

Apabila persoalan-persoalan ini timbul dan rakyat mula marah akan tindakan tidak masuk akal Lembaga Tabung Haji dan mendesak agar urusniaga itu dibatalkan, pihak atasan yang meluluskan urusniaga tersebut mula cemas. 

Urusniaga itu tidak mungkin dibatalkan kerana duit pencarum telah bertukar tangan dan difahamkan duit itu telah digunakan untuk membayar faedah untuk hutang yang ditanggung oleh penjual. 

Penjual pun dalam keadaan yang terlalu nazak dan tidak mungkin dapat menebus kembali tanah yang telah dijual dengan harga yang begitu lumayan.

Lembaga Tabung Haji, seperti cacing kepanasan selepas isu ini terbongkar, membuat beberapa pusingan dan laporan Polis berhubung kebocoran urusniaga sulit itu sebelum membuat kenyataan rasmi untuk menjual balik tanah kerajaan yang diambil 1MDB sebelum dijual kepada Tabung Haji dengan nilai hampir 40 kali ganda.
https://img2.blogblog.com/img/video_object.png
Ini BUKAN FITNAH. Ini kenyataan rasmi Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Azeez Rahim.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri telah menasihati Lembaga Tabung Haji agar tanah itu dijual semula. 

Itu adalah satu tindakan yang yang 'bijak' kerana Najib, selaku Ketua Penasihat dan Bapa 1MDB, pasti sedar bahawa urusniaga itu tidak mungkin DIBATALKAN seperti yang dituntut umum. 

Beberapa pemegang jawatan utama dalam 1MDB juga adalah orang-orang penting yang telah diamanahkan untuk menjaga Tabung Haji.

Kini semakin jelas bahawa kenyataan penjualan semula tanah tersebut pun hanya dicanang untuk meredakan kemarahan rakyat. 

Bukan saja Melayu, malah seluruh rakyat Malaysia mungkin telah ditakrif sebagai specis hidupan yang mudah lupa. 

Kemarahan rakyat akan penyalahgunaan wang pencarum Tabung Haji hanya sementara dan mata rakyat boleh terus dikaburkan dengan isu lain, mungkin itu tanggapan mereka yang diamanahkan untuk menjaga Tabung Haji?

Menteri yang bertanggungjawab yang meluluskan pembelian tanah 1MDB dalam masa kurang dari dua minggu dan membenarkan pembayaran penuh setelah S&P ditandatangani, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, telah memberitahu Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa tanah itu belum dijual lagi.  

Beberapa hari sebelum pengakuan ini terpaksa dibuat di Dewan Rakyat, sudah timbul gerakan halus dalam media sosial untuk meyakinkan rakyat bahawa pembelian tanah 1MDB itu sebenarnya adalah satu pelaburan strategik Tabung Haji. 

Isu mengekalkan pegangan Bumiputera di tengah kotaraya Kuala Lumpur dicanang sebagai alasan pembelian. Ada juga bajingan yang memainkan isu perkauman semata-mata untuk mengaburi mata rakyat, seperti yang dijangka sebelum ini. 

Beberapa ahli Dewan Rakyat juga nampaknya tidak terlepas dari agenda menghalalkan Tabung Haji tidak menjual balik tanah 1MDB tersebut. 
https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEg2IS57jSRgMa2A8MocsXig-ZYhEn9H-zZQOpsB1EZhD7UGGZgWuV2fu8FOc5st8g_XCbJ2JC2Ow34oyGhN1C7kCNsRtJlJ3LckhpQtQhcYzBvbVRFGi54FITKI9y2-v7fYXXJ6hSed4Vg/s400/Tabung+Haji+copy.jpg
Anggota Parlimen Sokong Tabung Haji Tidak Jual Tanah TRX
KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- "Dulu lain, sekarang lain"...itulah nada anggota Parlimen terhadap polemik tanah milik Lembaga Tabung Haji (TH) di pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) apabila rata-rata menyokong agar tanah seluas 0.63 hektar itu tidak dijual semula.

Beberapa wakil rakyat yang menyentuh isu itu, termasuk bukan Islam berpendapat TH wajar menimbang semula cadangan untuk menjual tanah berkenaan kerana disifatkan sebagai pelaburan yang menguntungkan.

Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) berkata TH akan memperoleh keuntungan yang lebih sekiranya tidak menjual tanah berkenaan.

"Dari sudut perniagaan, tanah berkenaan akan mendatangkan lebih banyak keuntungan, jika tidak dijual," katanya ketika mencelah penggulungan usul Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Dewan Rakyat, Isnin.

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), yang turut menyokong cadangan tersebut, berkata pihak pengurusan TH sememangnya mempunyai kepakaran dalam perniagaan dan telah menjalankan amanah dengan sebaiknya sejak dahulu lagi. "Kita minta tanah ini jangan dijual kerana dalam perniagaan tanah, semakin hari disimpan semakin naik harga," katanya.

Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) pula berkata cadangan penjualan tanah itu sebelum ini dibuat berikutan persepsi politik.

"Kalau persepsi itu sudah tidak ada, apa kata menteri supaya tanah ini tidak dijual dan dipertahankan untuk pembangunan demi keuntungan lebih besar kepada Tabung Haji di masa hadapan," katanya.

Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi); Datuk Seri Noh Omar (BN-Tanjong Karang); Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) dan Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) turut menyatakan sokongan mengenai parkara itu.

Sokongan seumpamanya turut dinyatakan anggota Parlimen pembangkang Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (PAS-Pasir Puteh) yang mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji kerana membuat suatu pembelian menguntungkan.

"Isu Tabung Haji ini timbul kerana isu 1MDB pada masa itu, tiba-tiba Tabung Haji mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli tanah yang agak mahal, tetapi dengan penerangan yang diberikan mengatakan pembelian itu adalah agak murah jika dibandingkan tanah sebelahnya, maka itu perkiraan menguntungkan kepada Tabung Haji," katanya.

Menyambut baik sokongan itu, Jamil Khir berkata beliau akan membawa perkara itu kepada anggota lembaga TH untuk menilai semula cadangan penjualan tanah berkenaan.

"Saya mendapat sokongan yang cukup luar biasa di mana kita dapat bergabung hari ini dan memberikan sokongan supaya Tabung Haji tidak menjual tanah tersebut dan saya mengambil perhatian tinggi," katanya.

Beliau sebelum itu berkata Tabung Haji pada masa ini telah menerima tawaran pembelian tanah itu dan sedang mengkaji tawaran tersebut.

Katanya dalam penjualan tanah itu, TH tidak hanya mahu sekadar mendapat pulangan modal sebaliknya melihat keuntungan demi kebaikan pendeposit.
a
Tabung Haji sebelum ini dikecam hebat kerana membeli tanah tersebut dengan harga RM188.5 juta daripada syarikat pelaburan kerajaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ekoran itu, pada 9 Mei lepas, TH memutuskan untuk menjual tanahnya di TRX atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai menghormati sensitiviti dan kepercayaan pendeposit.
-- BERNAMA

Langkah seterusnya?  Lembaga Tabung Haji akan menggunapakai sokong dari beberapa kerat ahli Dewan Rakyat untuk mengHALALkan pembelian tanah kerajaan dari broker tanah dengan harga hampir EMPAT PULUH KALI GANDA dari harga asal. 

Jangan bantah! Ini pelaburan strategik untuk menjaga kepentingan orang Islam namanya. 

Jangan fitnah! Laporan Polis akan dibuat dan anda akan didakwa. 

Jangan gusar! Ini bukan skandal besar yang harus di-siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. 

Jangan soal! Yang menyoal semuanya pengkhianat kepada agama Islam yang suci.

Sekian,  Terima Kasih.