Tuesday, June 23, 2015

1001 MISTERI BUKIT PUTUS









BUKIT Putus, bukan setakat penduduk Negeri Sembilan kenal dengan nama gah ini, malah masyarakat luar juga mengetahui tentangnya. Seperti ular kena palu, begitulah rupa paras jalan yang satu ketika dahulu menjadi laluan utama dari Seremban ke Kuala Pilah. Tapi apabila jalan baharu sejauh 6.9 kilometer dibuka secara rasmi pada 25 November 2009, jalan berkelok 32 itu, dari hari ke hari semakin ditinggalkan sepi. Namun Bukit Putus ada menyimpan 1001 rahsia. Dari cerita mistik hinggalah perancangan untuk menceriakan kembali laluan itu. Tidak menepati kehendak! Itu respons editor selepas gambar dikirim kepadanya. Sekali lagi saya perlu ziarah kawasan itu.

 Rasanya belum sampai pun suku perjalanan, dari jauh kelihatan sekumpulan anjing dan monyet di tengah-tengah jalan. Ini peluang baik! Tapi apabila kereta semakin menghampir, kumpulan binatang itu cabut lari ke dalam hutan di kiri dan kanan. Hati terasa rugi kerana tidak dapat merakam gambar 'mereka'. Saya matikan enjin lalu keluar dari kereta dan kemudian menjengah di tepi lembah yang penuh dengan pokok-pokok tinggi. Mana tau kalau-kalau kumpulan monyet tadi ada di situ, ada juga rezeki untuk merakam aksinya sedang bergayutan. Hampa. Hanya suara nyaring sang monyet sahut menyahut dari kejauhan yang kedengaran. Anjing-anjing tadi pula entah hilang ke mana. Mata meliar memerhati kiri dan kanan. Tiba-tiba datang deru angin agak kuat dari arah belakang. Riuh suara monyet tidak kedengaran lagi. Suasana jadi sunyi sepi. Dan sepantas itu juga jantung berdegup laju. Bulu roma menegak, saya terasa seram... Bukit Putus saya tinggalkan. Maaf puan editor. Saya gagal untuk merakam gambar dikehendaki kerana seram yang saya rasa mengatasi segalanya. Ya, rasa seram itu benar-benar muncul waktu kali kedua saya ke Bukit Putus untuk tugasan laporan khas kali ini. 

Legenda raksasa bergaduh Sehingga hari ini bagaimana wujudnya nama Bukit Putus masih tidak diketahui dengan jelas. Hanya satu saja kisah legenda yang pernah sampai ke telinga pada zaman kanak-kanak dahulu. Nenek pernah bercerita kononnya dulu ada kejadian raksasa bergaduh hingga berparang. Dalam pergaduhan itu, salah satu raksasa tersebut yang mahu menetak lawannya tertetak bukit tersebut sehingga terputus-putus dan kerana itu ia dinamakan Bukit Putus. Laluan berusia lebih 40 tahun itu tidaklah terlalu panjang.

 Hanya lapan kilometer sahaja. Empat kilometer ke puncak dan empat kilometer lagi ke kaki bukit. Laluan berliku dan berbukit ini kurang disukai pemandu. Selekohnya tajam. Jalannya sempit. Mengerikan bagi pemandu baharu yang baru pertama kali melaluinya. Mengenang Bukit Putus juga boleh menjadikan bulu roma meremang kerana banyak cerita mistik tersebar dari mulut ke mulut. Antaranya kisah seorang lelaki mengilai tanpa kepala di satu pokok besar dekat sebatang selekoh. Ada juga yang nampak sekumpulan manusia sedang berjalan mengusung keranda membawa obor dan ada juga yang melihat ‘pocong’ berdiri di kaki bukit. Cerita bantal peluk bergolek mengejar kenderaan, bebola api berterbangan di sekitar jalan, gerai misteri yang berniaga di tengah malam sehinggalah cerita terlihat sepasang manusia lelaki dan wanita melapah daging monyet di selekoh yang terdapat juraian air bukit. Kereta tiba-tiba jadi berat "Waktu itu tahun 2002, 

jam 2.30 pagi dari arah Seremban. Masa itu, jalan lengang langsung tiada kereta atau lori. Saya pun tidak fikir apa-apa, sehinggalah berhampiran Kem Pengakap sebelah kiri, tiba-tiba kenderaan saya jadi berat. Memang nak naik ke jalan itu agak payah," kata Ismail Shah Abd Samad. Katanya, dia hanya terfikir keretanya rosak kerana kenderaan itu sering meragam. "Saya pun lihat cermin pandang belakang, untuk lihat kalau ada kenderaan lain untuk minta bantuan. Tetapi apa yang saya nampak, objek berwarna putih dan samar-samar di bonet belakang kereta. Automatik menggigil satu badan. "Saya teruskan perjalanan, baca ayat Kursi tetapi secara tiba-tiba bau wangi kapur barus pula datang. Memang sangat seram waktu tu. Bila tiba puncak Bukit Putus, terdengar bunyi angin kuat dan tiba-tiba juga kereta saya menjadi ringan. "Itulah peristiwa paling saya tidak boleh lupakan sehingga kini. Saya pernah berbual dengan pemandu lori di hentian rehat Ulu Bendul dan mereka beritahu, jam 2 pagi hingga ke 4 pagi, jalan itu akan diganggu Pontianak." Perempuan bersama tiga anak 

“Ini cerita tahun 90-an dulu. Masa tu, saya bertugas dalam JPAM. Saya berulang alik dari Felda Kepis ke Seremban. Kejadian itu berlaku selepas selesai habis bertugas. Saya gerak dari JPAM jam 12.30 tengah malam dan tiba laluan kedua selekoh jam 1 pagi dari Seremban. "Tempatnya di kawasan kebun durian dekat selekoh paling tajam di jalan lama Bukit Putus. Masa itu naik kereta. Sebelum ini, kawan ada bagi tahu laluan itu agak scary tapi saya tidak percaya. "Hinggalah, pada malam itu, saya ternampak seorang perempuan berjalan di tengah jalan bersama tiga anaknya dan seorang didukung. Perasaan ketika itu, hanya ALLAH SWT yang tahu. Takkanlah, jam 1 pagi ada orang di kawasan itu dan di situ tiada rumah. Memang seram sejuk waktu itu. Saya teruskan perjalanan seperti biasa tanpa menegur perempuan itu." kata Shahrudin Abd Halim. Orang usung keranda "Sesiapa yang 'bernasib baik' sahaja akan diganggu oleh makhluk halus. Saya dahulu berulang alik dari Seremban ke Kuala Pilah kerana bertugas di Jabatan Pengangkutan Jalan Raya. Pernah diganggu lampu kereta tiba-tiba terpadam dan radio turut senyap. Waktu itu jam 1 pagi. "Bila dikacau, saya teruskan perjalanan macam biasa. Dan ternampak pula sekumpulan orang mengusung keranda. Saya lega bila lihat ada orang ramai. "Perasaan takut mula hilang. Namun bila tiba puncak bukit, tiba-tiba saya terfikir, di selekoh ketiga itu mana ada rumah orang dan baharulah saya tersedar, mungkin apa yang saya lihat bukan orang sebenar.” kata Mashitah Idris. Jalan sunyi kenderaan berkurangan Biarpun bilangan kenderaan menggunakan jalan Bukit Putus semakin berkurangan, malah boleh dikatakan sudah tiada, kisah mistik dan misteri itu masih terus disebarkan.


 Bagaimanapun, selepas jalan baharu yang lebih pendek dan lurus dibuka dan kenderaan yang melalui jalan Bukit Putus semakin berkurangan, ada ura-ura untuk menjadikan laluan ini sebagai tempat riadah dan rekreasi. Namun sehingga hari ini, tidak kelihatan apa-apa usaha dilakukan. Bukit Putus sudah jadi laluan sunyi. Bukan setakat manusia dan kenderaan, malah monyet dan kera yang dahulunya kelihatan banyak di tepi-tepi jalan setiap kali melalui laluan itu, kini sudah tiada. Kalau dulu ‘mereka’ amat suka berpelesiran di tepi jalan, kini sudah tidak nampak bayang. Mungkin dulu ada saja pemandu yang melempar makanan untuk mereka menjadikan mereka gemar keluar di tepi jalan menunjukkan muka. Tapi sekarang, tak siapa yang datang melihat lagi.

 Khabarnya, polis juga tidak menggalakkan pemandu melalui laluan ini terutama waktu malam kerana ada kes samun berlaku di sini. Berpotensi jadi tarikan pelancong Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan, Mohamad Taufek Abd Ghani berharap kerajaan negeri dapat membuat kajian terperinci terhadap laluan lama Bukit Putus, untuk dimanfaatkan sebagai tarikan pelancong. Secara peribadi katanya, lokasi tersebut agak menarik berikutan keadaannya yang dilitupi kehijauan alam semula jadi di kiri dan kanan jalan, ditambah kewujudan beberapa dusun buah-buahan dan sebuah restoran di situ. 

“Pada hemat saya, laluan itu sesuai dijadikan sebagai kawasan agro pelancongan atau sukan lasak misalnya maraton, longboard, berbasikal, rock climbing, meredah hutan, mendaki bukit dan pelbagai lagi. “Ditambah laluan berliku dan mencabar, pastinya mampu menggamit penyertaan atlet antarabangsa. Memang rugi kalau dibiarkan sebab lokasi itu mudah diakses menggunakan laluan baharu, selain terletak berdekatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas),” katanya. Pengerusi PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun nyata sependapat dengan Mohamad Taufek, cuma berharap segelintir aspek dapat dipertingkatkan lagi jika cadangan sedemikian menjadi realiti. “Selain menaiktaraf kualiti jalan, beberapa kemudahan asas perlu dibina untuk orang ramai. Penguatkuasaan juga mesti proaktif bagi memastikan keselamatan pengunjung terjamin kelak. “Bila ada pengunjung, secara tidak langsung boleh memberi peluang kepada penduduk sekitar untuk menambah pendapatan dengan berniaga secara kecil-kecilan di sepanjang laluan penuh bersejarah itu,” katanya. 

MISTERI BUKIT PUTUS










Kadangkala apabila melalui jalan baharu di Bukit Putus dekat sini terkenang selekoh tajam di laluan lama yang telah banyak meninggalkan nostalgia.

Bukan sahaja melibatkan tanah runtuh, kemalangan yang meragut nyawa, malah ada juga mayat yang dibuang di gaung yang dalam di laluan paling 'seram' terutama di tengah malam.

Namun begitu, pemandu yang hendak ke Kuala Pilah, hari ini tidak perlu bimbang lagi untuk melalui selekoh tajam di jalan lama dekat Bukit Putus itu, sebaliknya mereka boleh melalui jalan lurus yang kini lebih cepat dan pantas, malah disebut sebagai 'laluan sutera moden' bagi pedagang dari Pantai Timur ke Pantai Barat.

Biarpun jalan lama ditinggalkan sepi sejak jalan baharu itu dirasmikan pada 29 November 2009, kini hanya tempat tinggal binatang liar yang bebas berkeliaran di atas jalan raya, khususnya kera.

Inilah nostalgia jalan yang suatu ketika dahulu telah memberi khidmat kepada penduduk khususnya di daerah Kuala Pilah, Jempol dan Gemas.

Malah jalan itu juga menjadi laluan penting ke Kuantan, Pahang dan Segamat, Johor bahkan penghubung penting kawasan sebelah barat yang merupakan kawasan pertanian yang luas menerusi penanaman kelapa sawit melalui tanah rancangan Felda.

Selain itu, ia menempatkan lokasi pelancongan utama kerana Istana Besar Seri Menanti terletak di Kuala Pilah dan kawasan rekreasi air terjun Ulu Bendul yang menggamit kedatangan pelancong dalam dan luar negeri.

Lebih nostalgia, 'laluan sutera' yang digantikan dengan jalan baharu itu merupakan pencetus kewujudan pelbagai institusi pendidikan seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kuala Pilah, Kolej Matrikulasi dan sekolah berasrama penuh di sekitar daerah Kuala Pilah dan Jempol, sekali gus menyaksikan peningkatan bilangan kenderaan terutama pada hujung minggu.

Apa pun, jalan lama Bukit Putus ini, sekadar menjadi memori terutama bagi mereka yang gemar menikmati selekoh tajam dan hutan rimba di sekitarnya.

Kata seorang pemandu teksi, Razali Mohd. Som, 62, dahulu kalau terdapat lori di hadapan pasti orang ramai sukar untuk memotongnya kerana selekoh di jalan lama itu terlalu bahaya.

''Kesudahannya, kita tunggulah sampai ke penghujung jalan. Bila ada jalan baharu itu semuanya dapat diatasi, tetapi bagi saya jalan lama ini terlalu banyak kenangannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, macam-macam cerita didengar ketika melalui jalan lama ini, maklumlah banyak sangat kejadian korban jalan raya di situ.

''Cerita seram, tidak perlu cakap. Yang berlumba dan jatuh gaung pun ramai. Kes jenayah pun ada di situ. Buang sampah pun ke dalam gaung itu. Sekarang tidak ada lagi orang berhenti tepi jalan bagi makan pada kera di situ," katanya.

Sementara itu, seorang pengusaha barangan kraftangan, Mohd. Fauzi Ahmad, 57, berkata, dia berulang-alik dari rumahnya di Taman Tuanku Ja'afar dekat Senawang ke kedainya di kawasan rekreasi di Ulu Bendol sejak 13 tahun lalu.

''Kalau ikut jalan lama dahulu, yang banyak terbabit kemalangan ialah penunggang motosikal. Bila salah pecut, sudah terbabas dan masuk bawah lori.

''Bagi saya, memandu di jalan lama Bukit Putus itu memang santailah. Kita dapat tengok pokok menghijau dan sesekali melihat habitat dan kehidupan lain di situ seperti burung, kera, haiwan liar. Seronok juga," katanya.

Bagi petugas taska Zainuddin 35 pula berkata

" Semasa kecil dulu saya selalu menziarah nenek di Kampung Ulu Jempol melalui pengangkutan bas, Jalan yang dilalui agak bengkang bengkok, sekiranya bas berada dibelakang lori yang membawa muatan getah basah dan selepas melalui jalan ini akan menemui pula kilang getah pasti akan membuat dirinya dan juga beberapa penumpang merasa loya dan muntah" katanya

Sementara itu, Mahadzir Ibrahim, 42, berkata, apabila dapat bercuti dia akan balik ke Batu Kikir menggunakan jalan baharu Bukit Putus ini.

''Jalan lama banyak kenangan. Saya bergerak ke Nilai dari Batu Kikir pada pukul 5 pagi kemudian akan berhenti solat subuh di stesen minyak Paroi kemudian sambung perjalanan ke Nilai dan pulang pada waktu malam kira-kira pukul 10 malam.

''Pada waktu pagi tiada masalah besar tetapi apabila pulang waktu malam timbul risau kerana keseorangan menunggang motosikal melalui jalan yang gelap dan sunyi," katanya.

Biasanya dahulu dia akan berhenti di stesen minyak di Paroi berhampiran Bukit Putus dan menunggu jika ada kenderaan lain yang lalu di jalan lama Bukit Putus sebelum mengekorinya.

KISAH MISTIK

Apabila diajukan soalan mengenai jalan lama Bukit Putus, ramai yang tidak berani bercerita, apatah lagi diajak menggunakan laluan berkenaan terutamanya pada waktu malam, walaupun ketika ini jalan baharu sudah ada.

Namun kisah seram ini mungkin rekaan termasuklah kononnya terjumpa orang mengusung keranda sambil membawa obor dan suara wanita menjerit minta tolong dari gaung dan sebagainya.

Kata Razali, sepanjang dia memandu di jalan lama dahulu, tiada peristiwa ganjil yang ditemuinya dan menganggap kisah mistik itu sekadar 'mengaibkan' jalan lama yang sudah banyak berjasa ini.

Kata Mohd. Fauzi, dia telah menggunakan laluan itu setiap hari selama 13 tahun dan semua cerita karut itu tidak benar.

''Jalan lama ini sudah banyak jasanya dan janganlah diperkecilkan sumbangannya," katanya.

Seorang lagi pengguna Idris Ahmad berkata "Masa dulu kalau sesiapa yang melalui jalan ini waktu malam mungkin akan diekori kereta lama wolkswagen warna kuning dan yang menjadi seramnya kereta tersebut tiada pemandu" tambahnya terdapat cerita sebuah warung bunian ditengah jalan Bukit Putus ini dan bagi pengguna yang pertama kali melalui jalan ini mungkin akan singgah di warung misteri ini dimana terdapat banyak kucing hitam.

" misteri inilah kadang kala menyerikan lagi cerita mistik Jalan Lama Bukit Putus" katanya mengakhiri perbualan..


Sekarang LIVE! Tadarus Juz 11 & 12. Jom TADARUS.
πŸŒ™Tadarus Al Quran Fir RamadhanπŸŒ•
Juz 1 hingga Juz 30

Masa : 10.00 pagi & 2.00 petang
Setiap Hari Sepanjang Ramadhan
Bersama Anak Anak Pelajar Tahfiz Al-Mukhlisin Lil Banin Cawangan Jelebu Negeri Sembilan.
DENGARKAN LIVE! di AmalFM!
Terus Beristiqamah!
==========================
1. Download App Di Play Store. Search : Amal FM & Download.
Direct Link Download AmalFM :
Klik ▶ https://play.google.com/store/apps/details…
2. Dengarkan Kami Di semua Gajet & Komputer :
Klik ▶ http://tunein.com/radio/Amal-FM-s233901/
3. Dengarkan Di Website Kami :
Klik ▶ http://amalfm2u.blogspot.com/
4. Like FB Kami :
Klik ▶ https://www.facebook.com/AmalFM.net
TERUS BERISTIQAMAH!!!
πŸ‘†πŸ‘†πŸ‘†
Mohon Bantu Sebarkan/Viralkan

TRAGEDI BUKIT PUTUS






SEREMBAN 20 Jun - Seorang anggota tentera dan sepasang suami isteri warga emas maut sementara lima lagi cedera dalam nahas ngeri melibatkan lima kenderaan di atas Jambatan Bukit Putus, dekat Kilometer 15, Jalan Seremban-Kuala Pilah, malam tadi.
Dalam kejadian menyayat hati kira-kira pukul 10 malam itu, dua mangsa, Koperal Mohd. Hafiz Shamsudin, 27, dan L. Muthu, 63, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah akibat kemalangan berkenaan.

Sementara isteri Muthu, S. Duggamah, 58, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini ketika menerima rawatan kecemasan.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati kereta Mercedes-Benz yang dinaiki Muthu dan Duggamah dalam perjalanan dari arah Kuala Pilah me- nuju ke Serdang, Selangor.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta Muthu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki laluan bertentangan di atas jambatan Bukit Putus.

“Berikutan itu, kereta Mercedes-Benz berkenaan telah melanggar sisi sebelah kanan sebuah kereta jenis Proton Pesona yang dinaiki seorang pemuda, Fazrul Anuar Sulaiman, 23.

“Mercedes-Benz itu kemudian bertembung dengan kenderaan Proton Wira Aeroback yang dipandu Mohd. Hafiz. Akibat pertembungan itu, Mercedes-Benz dan Proton Wira Aeroback berkenaan telah berpusing beberapa kali.

“Pada masa yang sama, kende- raan Mercedes-Benz itu telah me- langgar sebuah Toyota Hilux yang dinaiki tiga orang termasuk seorang kanak-kanak. Toyota Hilux berkenaan kemudian dilanggar oleh sebuah Perodua Viva yang dipandu seorang pelajar Politeknik Shah Alam,” katanya di sini hari ini.

Muhamad Zaki turut memaklumkan, selain Fazrul; pemandu Perodua Viva, Khirul Izwan Md. Yasin, 24; pemandu dan penum- pang Toyota Hilux, A. William Dass, 34, M. Shareenah, 35 dan seorang kanak-kanak, Daveena Isabel, 1 tahun 6 bulan diberikan rawatan di HTJ kerana mengalami kecederaan.


Ujar beliau, mayat mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian telah dihantar ke hospital yang sama untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarga untuk urusan pengebumian.