Wednesday, December 16, 2015

BERITA SUKAN - UPDATE 16 DEC 2015

1. PENGUASAAN Malaysia dalam arena badminton di pentas antarabangsa tidak seharusnya tertumpu kepada pemain perseorangan lelaki sahaja, kata jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei. Walaupun jurang prestasinya dengan pemain perseorangan lelaki Malaysia lain sangat besar, skuad badminton negara masih mempunyai perseorangan wanita serta beregu campuran yang semakin menunjukkan peningkatan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
2. JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei perlu kekuatan mental jika berhasrat meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan. Lagenda badminton dunia, Taufik Hidayat dari Indonesia berkata Chong Wei masih cergas dan kompetitif setanding pemain nombor satu dunia masa kini, walaupun sudah mencecah usia 33 tahun.
3. "BERIKAN saya masa dan peluang untuk membimbing pasukan ini pada musim depan”. Itu reaksi Penolong Jurulatih Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi yang secara rasminya diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sebagai Ketua Jurulatih Pahang untuk musim 2016, hari ini.
4. MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan badminton kini menjadi sukan nombor satu negara berdasarkan prestasinya di peringkat antarabangsa. Walaupun bola sepak kekal sebagai sukan popular, namun jika dibandingkan dari segi prestasi, badminton telah membuktikan perkembangan positif sama ada di peringkat senior atau remaja.
5. FLEET International Holdings Sdn Bhd menjadi penaja utama kepada Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2015 pada 18 hingga 20 Disember ini. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Fleet berkata, tujuan pertandingan ini adalah untuk memupuk bakat dan meningkatkan lagi skil pemain-pemain yang berpotensi.
6. JUARA Piala AFC, Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata mendominasi senarai pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Jumaat ini. Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad Harimau Selatan itu dicalonkan dalam enam daripada senarai yang ada bagi sejumlah lapan kategori. Safee Sali dan Amri Yahya yang menjadi nadi penting JDT merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala AFC musim ini dilihat pilihan utama untuk Kategori Penyerang Terbaik.
7. NYON, Switzerland – Arsenal bakal berdepan tugas berat dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara apabila diundi menentang penyandang juara, Barcelona, genap 10 tahun selepas kedua pasukan berentap dalam final kejohanan bola sepak elit Eropah itu. Barcelona, yang memburu kejuaraan Eropah buat kali keenam menumpaskan Gunners 2-1 dalam pertemuan di Stade de France, Paris pada 2006.
8. BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meletakkan sasaran untuk terus cemerlang dengan merangkul kejuaraan Grand Prix (GP) Mexico yang bermula hari ini. Menurut V Shem, kejayaan menamatkan badi kejuaraan apabila merangkul gelaran pertama pada Grand Prix (GP) Terbuka Amerika Syarikat selain menambah keyakinan mereka turut menganggap pencapaian itu petanda positif. .

ISU SEMASA - UPDATE 16 DEC 2015

1. DUBAI - Arab Saudi, hari ini mengumumkan pembentukan pasukan tentera perikatan terdiri daripada 34 buah negara Islam, termasuk Malaysia bagi memerangi keganasan. Antara negara yang membentuk tentera perikatan itu ialah Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Turki, Malaysia, Pakistan dan negara-negara Teluk dan Afrika.
2. KUALA LUMPUR - Sikap rakyat Malaysia yang kurang menyimpan wang dalam institusi perbankan telah menyukarkan negara untuk mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Sikap atau tabiat ini telah menyebabkan negara terpaksa bergantung kepada pinjaman luar negara berbanding menggunakan sumber kewangan domestik.
3. KOTA BHARU - Negeri ini bakal menghadapi banjir besar sekali lagi sekiranya fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada 25 sehingga 28 Disember ini bertembung dengan hujan lebat lebih dua hari berturut-turut pada masa yang sama. Ekoran daripada itu kawasan-kawasan di sekitar Sungai Golok seperti Rantau Panjang dan Tumpat terdedah dengan bencana alam tersebut.
4. MELAKA - Seramai 36 anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) di Melaka akan dibekalkan dengan 'bodycam' (kamera badan) ketika melakukan rondaan bermula 1 Januari depan. Penggunaan alat berkenaan bertujuan melindungi keselamatan anggota ketika bertugas selain meningkatkan integriti mereka terutama kepada masyarakat.
5. KUALA LUMPUR - Rancangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil kenyataan daripada warga Switzerland, Xavier Andre Justo berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Bangkok hari ini berjalan seperti yang diatur. Di Bangkok, pasukan PDRM dilihat memasuki kawasan penjara di mana Justro sedang ditahan pada pukul 10 pagi tadi waktu tempatan (11 pagi waktu Malaysia) dan meninggalkan penjara sekitar tengah hari.
6. KUALA LUMPUR - Kadar baharu cukai lapangan terbang yang sedang dikaji semula kerajaan adalah satu perjanjian yang telah diputuskan sejak awal lagi bersama Malaysia Airports Holdings Berhad. (MAHB) dan tidak boleh berpatah balik. Ia telah pun ditandatangani untuk dikaji semula kadar cukai itu setiap lima tahun.
7. KUALA LUMPUR - Kerajaan menyambut baik langkah Arab Saudi membentuk pasukan tentera 34 negara Islam yang turut melibatkan Malaysia dalam menangani sebarang aktiviti keganasan. Malaysia sentiasa komited dan menyokong penuh kerjasama antara negara-negara Islam dalam menangani sebarang bentuk keganasan termasuk ancaman kumpulan militan Negara Islam (IS).
8. KUALA LUMPUR - Judul program Gegar Vaganza hari ini mengundang jenaka dalam kalangan netizan apabila perkataan "vaganza" itu dikatakan merujuk kepada kemaluan wanita atau vagina yang diterjemahkan daripada kamus urban Bahasa Inggeris. Ditambah pula dengan perkataan "gegar" di hadapan perkataan tersebut, rata-rata pelayar laman sosial menyifatkan judul berkenaan terlalu lucah untuk diguna pakai oleh Astro bagi menerbitkan program televisyen bertajuk sedemikian rupa.
9. MELAKA - Daerah Melaka Tengah mula dilanda banjir dengan dua pusat pemindahan dibuka malam tadi menempatkan 278 mangsa daripada 65 keluarga setakat 8 pagi tadi. Daripada jumlah itu, 190 daripada 46 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Krubong manakala 88 daripada 19 keluarga di Balai Raya Tanah Merah Krubong.
10. KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melancarkan Mesin Juruwang Maya (VTM) pertama di Malaysia yang diperkenalkan Bank Simpanan Nasional (BSN). Perkhidmatan perbankan melalui sidang video terbaharu itu adalah satu revolusi yang dilaksanakan oleh BSN dalam usahanya untuk muncul sebagai sebuah institusi perbankan komersial.
11. KUALA LUMPUR - Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini hari ini membebaskan pelakon, Beego dan dua rakannya tanpa dipanggil membela diri daripada pertuduhan berkhalwat dengan dua rakan wanita mereka, empat tahun lalu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
12. KUALA LUMPUR - Seorang ketua kerani di Jabatan Perangkaan dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini kerana melindungi suaminya yang merupakan seorang pengganas Negara Islam (IS), tahun lalu. Hakim Kamardin Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Poziah Harun, 42, selepas wanita itu mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa kepadanya.
13. KUALA LUMPUR - Syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) menerima amaran pertama berikutan gagal mematuhi undang-undang selepas cuai memastikan 103 penumpang antarabangsa dari Myanmar menjalani pemeriksaan oleh pegawai imigresen, baru-baru ini.
14. SHAH ALAM - Mayat tanpa kepala dipercayai milik tawanan rakyat Malaysia yang diculik, Bernard Then Ted Fen ditemui semalam di Pulau Jolo telah dihantar untuk pengecaman ke bandar Zamboanga. Aktivis Anti Penculikan Selatan Filipina, Prof Octavio Dinampo berkata, ujian DNA akan dijalankan bagi mengesahkan ia milik Then.
15. SUNGAI BULOH - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) memperuntukkan RM480,000 bagi membaik pulih 16 rumah asnaf di daerah Petaling di sini. Peruntukan berkenaan akan digunakan antara lain bagi menambah baik sistem pendawaian elektrik, bumbung rumah, mengecat, membesarkan ruang rumah dan membaiki kerosakan lain mengikut keperluan.
16. TAIPING - Polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas kabel dianggar bernilai RM1,000 yang dipercayai dicuri, dalam operasi cegah jenayah di Jalan Kampung Benggali, Pokok Assam, di sini hari ini. Kedua-dua lelaki itu menaiki motosikal ditahan pada pukul 11 pagi dalam keadaan mencurigakan sambil membawa dua guni berwarna putih.
17. KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata kerjasama antara kerajaan Pas Kelantan dengan kerajaan Persekutuan yang ditunjangi BN, telah lama wujud. Kerjasama antara kedua-duanya dapat dilihat terutamanya dalam aspek pengurusan perkhidmatan kerajaan misalnya bagi membincangkan isu-isu tertentu mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan.
18. MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan wang tunai segera RM500,000 untuk diagihkan kepada mangsa banjir di negeri ini, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron. Setiap keluarga diberi bantuan RM500 berbanding RM200 sebelum ini yang bertujuan meringankan beban mangsa.
19. KUALA LUMPUR – Dua pekerja hotel warga Indonesia cedera ditetak sekumpulan lelaki dalam insiden cubaan samun berhampiran sebuah hotel di Jalan Masjid India, di sini, semalam. Tiga orang suspek yang menaiki dua motosikal cuba menyamun mangsa, sebelum berlaku pergelutan antara mereka dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi.
20. SEREMBAN - Seorang wanita maut dalam kemalangan apabila kereta yang dipandu suaminya melanggar sebuah kenderaan pikap di Jalan Seremban-Kuala Pilah, malam tadi. Mangsa Zamzurina Zainuddin, 46, maut di tempat kejadian manakala suami dan tiga anaknya mengalami kecederaan di kepala.
21. KOTA KINABALU - Rakyat negara ini diminta lebih berhati-hati dan bijak menggunakan media sosial dengan memanfaatkannya hanya untuk perkara kebaikan kepada diri, masyarakat dan negara. Rakyat Malaysia tidak harus menyalah gunakan kemudahan itu untuk perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan masyarakat di negara ini.
22. KUALA LUMPUR - Polis mengesan seorang pelakon wanita Australia, Eliza Szonert yang didakwa melarikan anak lelakinya daripada bekas suaminya, Ashley Crick di sebuah restoran di sini, Khamis lalu. Wanita berkenaan berjanji mahu tampil berjumpa dengan polis, semalam, namun dia tidak hadir.
23. SHAH ALAM - Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi akan bersara wajib dari perkhidmatan awam selepas hampir empat tahun menjawat jawatan itu. Beliau akan mula bercuti lusa sebelum bersara wajib sebagai penjawat awam.
24. KUCHING - Kementerian Perumahan Sarawak telah mencadangkan kepada Lembaga Perancangan Negeri Sarawak (SPA) berhubung pelaksanaan dasar dan garis panduan rumah mampu milik baharu yang akan melibatkan penambahbaikan utama kepada pendekatan kerajaan negeri berhubung penyediaan perumahan yang mampu dimiliki.
25. NEW DEHLI - INDIA . Seorang ibu menamakan anaknya Uber sempena nama tempat bayinya dilahirkan iaitu di dalam sebuah teksi Uber baru-baru ini. Wanita yang hanya dikenali sebagai Babli terpaksa melahirkan bayinya di dalam teksi kerana terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ketika dalam perjalanan ke hospital.
26. BEIJING - CHINA. Penurunan mendadak keluaran dalam negara kasar (KDNK) China kepada 2.3 peratus semasa tempoh 2016-2018 akan menjejaskan perdagangan global dan membantutkan pertumbuhan dengan pasaran sedang pesat membangun dan korporat global merupakan antara yang akan paling merasai kesan ini, demikian menurut kajian oleh Fitch Ratings.
27. SEPANG - Seramai 219 pelatih Program Latihan Khidmat Cemerlang (PLKN) 2.0 ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN). Mereka merupakan sebahagian dari 345 pelatih yang berjaya menamatkan program rintis PLKN 2.0 hari ini yang programnya bermula sejak Oktober lalu.
28. KOTA KINABALU - Cadangan untuk mewujudkan sebuah Pusat Sehenti Filem di Sabah dilihat mampu melonjakkan pembangunan industri perfileman negeri sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan industri kreatif tempatan. Cadangan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu juga mampu menjadi platform bagi menyediakan kemudahan terkini kepada penggiat industri filem tempatan.
29. KUALA PILAH - Seorang pekerja kilang maut setelah kereta yang dipandunya bertembung dengan lori simen di Terachi, dekat sini awal pagi tadi. Dalam kejadian pada 7 pagi itu, Nurul Fitri Baharudin, 23, dari Tanjung Ipoh, dekat sini cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya, tetapi gagal.
30. SHAH ALAM - Pengguna sekitar Shah Alam dan Klang akan mengalami tekanan air rendah berikutan kerja penggantian kelengkapan kritikal di kolam takungan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bermula 9 malam Isnin depan (21 Disember) sehingga 6 pagi keesokan harinya.
31. KUALA LUMPUR - Ribut taufan Melor atau dikenali juga sebagai Taufan Nona yang melanda Filipina semalam akan turut membawa angin kencang dan hujan lebat ke Sabah khusus di kawasan Pantai Barat, Kudat, Pedalaman dan Labuan. Keadaan itu dijangka berterusan sehingga Ahad ini yang sekali gus boleh menyebabkan banjir kilat.
32. ALOR SETAR - Dua beradik yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka maut setelah motosikal mereka dihempap pokok yang tumbang secara tiba-tiba berdekatan Masjid Gunung Keriang di sini tengah malam tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 12.20 tengah malam itu, Rizal Mat Saad, 21, dan adiknya Muhammad Raziq, 17, datang dari Kuala Kedah untuk pulang ke rumah mereka di Sungai Korok.
33. LANGKAWI - Taktik pengedar cuba untuk menyembunyikan heroin di dalam mesin basuh gagal apabila mereka berjaya diberkas Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Langkawi awal pagi tadi. Kejayaan itu adalah hasil dari dua serbuan yang dibuat oleh pasukan yang diketuai Inspektor Shaharuddin Shah di kawasan Bukit Malut bermula kira-kira pukul 4.00 pagi.
34. KUCHING - Syarikat penerbangan dari Hong Kong, berminat untuk melancarkan penerbangan terus berjadual ke sini, kata Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Johari Tun Abang Openg. Kementerian telah memuktamadkan rundingan dengan syarikat tersebut dan memorandum persefahaman akan ditandatangani pada 18 Disember.
35. BENGBU, CHINA – Seorang lelaki bertindak mengurung dan merantai lehernya sendiri di dalam sebuah bilik kecil di wilayah Bengbu, China. Zhang Rui, 30, berkata dia bertindak demikian bagi menghentikan tabiat minumnya yang kronik. "Ini adalah satu-satunya cara untuk saya berhenti menjadi kaki botol. Setelah berunding panjang dengan keluarga, saya setuju untuk dirantai.” katanya.
36. KAJANG - Anak perempuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengalami kerugian sebanyak RM25,000 selepas banglo miliknya di Country Heights di sini dipecah masuk penjenayah dalam satu kejadian awal pagi tadi. Antara barang yang hilang termasuk sebentuk cincin kahwin milik suami mangsa, lima utas jam pelbagai jenama dan sebuah komputer riba jenis Apple.
37. GEORGE TOWN - Populasi orang utan di hutan Kalimantan dan Sumatera di Indonesia dikatakan hampir pupus apabila kawasan habitatnya telah terancam dengan aktiviti pembakaran hutan sehingga berlaku bencana jerebu di negara terbabit baru-baru ini.
38. KUALA LUMPUR - Bekas ahli Umno Langkawi, Anina Saadudin tidak mempunyai hak dari segi undang-undang untuk memfailkan saman terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja, Datuk Ab Rauf Yusoh berhubung isu derma RM2.6 bilion, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.
39. HULU SELANGOR - Usaha mencari dan mengesan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Keramat Satu, Jashiah Rabu, 53, yang masih belum ditemui sejak dilaporkan hilang pada 25 Oktober lalu tetap diteruskan. Usaha mengesan wanita terbabit tetap diteruskan polis dengan kerjasama penduduk di kawasan sekitar serta ahli keluarga mangsa.
40. KUALA KUBU BHARU - Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong mendesak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (Spad) agar memberi penjelasan mengenai isu bas yang tidak mencukupi di stesen bas Kuala Kubu Bharu. Isu itu sudah berlanjutan sejak beberapa bulan lalu dan perkhidmatan bas untuk ke Tanjung Malim dan Rawang semakin terjejas kerana hanya dua bas saja tersedia untuk kegunaan orang ramai.
41. SUNGAI SIPUT (U) - Jalan utama berhampiran Jambatan Karai di Kampung Enggor yang runtuh hampir tiga meter, Sabtu lalu sudah dibaiki Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Kangsar dan boleh digunakan sejak tengah malam, kelmarin.
42. JAKARTA – INDONESIA. Lapangan Terbang Abdul Rachman Saleh di Malang, Jawa Timur terpaksa ditutup sementara hari ini akibat debu gunung berapi Gunung Bromo yang semakin aktif sehingga mengganggu penerbangan.
43. CALIFORNIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang lelaki bersama bapanya mengambil inisiatif mengubahsuai sebuah bas sekolah kepada sebuah rumah mini bergerak. Patrick Schmidt yang tidak bekerja dan tinggal di California membeli bas sekolah dengan harga AS$ 4,500 (RM 19,366) pada Mac lalu dan kemudian memperuntukkan tiga bulan untuk menjadikan bas tersebut sebuah rumah mini bergerak.
44. KOTA BHARU - Seorang pekerja ladang warga Thailand dihukum penjara 14 tahun dan dikenakan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu kerana merogol remaja juga orang kelainan upaya (OKU). Tertuduh Mahadu Lukanu, 31,didakwa merogol remaja terencat akal berusia 13 tahun yang juga anak majikannya itu antara Ogos dan 27 November 2013 di Kampung Sri Jaya Kemubu, Dabong, Kuala Krai.
45. KOTA BHARU - Padah memberi suapan RM300 pada polis November lalu, seorang remaja warga Myanmar dihukum penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini. Hukuman diputuskan hakim, Adli Abd Ghalib selepas tertuduh yang berusia 18 tahun itu mengaku salah terhadap tuduhan dikemukakan terhadapnya.
46. KOTA KINABALU - Dua buah rumah dan enam kenderaan musnah dalam kebakaran di Jalan Kurol Melangi, Kampung Likas di sini petang tadi. Dua buah rumah yang terbakar itu adalah separa simen dan rumah papan sementara kenderaannya melibatkan sebuah Land Cruiser, Isuzu, Kelisa, Cherokee dan dua buah Perodua Viva.
47. DAMASCUS - SYRIA. Serangan udara dari pesawat milik rejim Bashar al-Assad dan Rusia dilaporkan mengorbankan 31 orang awam termasuk kanak-kanak di ibu negara, Damascus semalam. Serangan udara juga menyasarkan sebuah penempatan berdekatan sebuah sekolah di Douma yang mengorbankan 28 orang awam pada hari sama.
48. BAGAN SERAI - Bekalan dadah siap dibungkus bertaburan di atas jalan apabila motosikal dinaiki seorang tokan merempuh sebuah lori dalam satu kejadian kemalangan di Kilometer 187 Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), di sekitar kawasan Gunung Semanggol, 12 Disember lalu.
49. KUALA PILAH - Misteri kehilangan seorang pemuda sejak empat bulan lalu akhirnya terjawab apabila dia ditemui mereput di dalam rumah ibu saudaranya di Kampung Kuala Sungkak, jam 9 pagi semalam. Mangsa, Mohd Hidir Abu Bakar, 34, masih bujang dan bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di kampung berkenaan.
50. SEREMBAN - Polis menahan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kes bunuh seorang lelaki di Ladang Bukit Bertam Lubok China, Rembau. Tiga lelaki berusia dari 24 hingga 42 tahun itu ditahan di sekitar Linggi, di sini, petang kelmarin. Seorang daripada mereka merupakan penternak lembu. Semua mereka kini ditahan reman dan tiada pengakuan direkod lagi.
51. NILAI - Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas terjatuh dalam longkang sedalam 1.5 meter di Flat Desa Cempaka, di sini, semalam. Mangsa, G Sukumaran, 3, maut dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang sebelum hanyut dibawa arus deras. Mangsa kemudiannya dijumpai lebih kurang jam 2.30 petang, di Sungai Salak Lama, iaitu dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.
52. KUALA LUMPUR - Bekas menteri Kabinet, Tun Dr Ling Liong Sik memfailkan saman balas terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Liong Sik dilaporkan berkata, Najib tidak meneruskan sebarang saman fitnah terhadap individu lain termasuk pemimpin Umno yang berulang kali mengkritik tingkah laku dan integriti beliau.
53. KOTA BHARU - Seorang peniaga berusia 27 tahun menjadi individu pertama di Kelantan dituduh di Mahkamah Majistret Kota Bharu berhubung kesalahan membabitkan penjualan cecair rokok elektronik atau vape. Tertuduh yang berasal dari Kampung Pulau Semut Limbat, di sini, Muhd Azahar Safie, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.
54. ALEPPO - SYRIA. Kerajaan Rusia dituduh menggunakan bom berangkai (cluster bomb) dalam serangan udara di Aleppo semalam yang mengorbankan 10 orang awam. Laporan Dailymail menyertakan foto yang menunjukkan bom tersebut di sebuah kawasan penempatan, Merce. Bom berangkai direka bukan untuk memusnahkan sasaran, sebaliknya meletup dan melepaskan serpihan-serpihan besi (bomblets) bertujuan untuk mencederakan mangsa dengan parah.
55. KAHERAH - MESIR. Seorang lelaki dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Mesir selepas didapati bersalah merogol seorang warga emas berusia 80 tahun sehingga menyebabkan kematian. Lelaki yang berusia 25 tahun itu mengikat tangan serta kaki warga emas tersebut dan memaksannya memakai baju tidur kepunyaan anak mangsa sebelum merogolnya.
56. POKOK SENA - Pembinaan bonggol yang didakwa tidak mengikut spesifikasi ditetapkan di Taman Bandar Baru Darulaman, di sini menyebabkan seorang pengawal keselamatan cedera parah, semalam. Isteri mangsa, Nurul Aida Ismail, 24, berkata, suaminya, Mohd Sofi Jamaludin, 25, baru pulang dari kerja dan tidak menyangka adanya bonggol yang baru dibina di kawasan itu.