Wednesday, December 16, 2015

BERITA SUKAN - UPDATE 16 DEC 2015

1. PENGUASAAN Malaysia dalam arena badminton di pentas antarabangsa tidak seharusnya tertumpu kepada pemain perseorangan lelaki sahaja, kata jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei. Walaupun jurang prestasinya dengan pemain perseorangan lelaki Malaysia lain sangat besar, skuad badminton negara masih mempunyai perseorangan wanita serta beregu campuran yang semakin menunjukkan peningkatan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.
2. JAGUH badminton negara Datuk Lee Chong Wei perlu kekuatan mental jika berhasrat meraih pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil, tahun depan. Lagenda badminton dunia, Taufik Hidayat dari Indonesia berkata Chong Wei masih cergas dan kompetitif setanding pemain nombor satu dunia masa kini, walaupun sudah mencecah usia 33 tahun.
3. "BERIKAN saya masa dan peluang untuk membimbing pasukan ini pada musim depan”. Itu reaksi Penolong Jurulatih Tok Gajah, Ahmad Shaharuddin Rosdi yang secara rasminya diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) sebagai Ketua Jurulatih Pahang untuk musim 2016, hari ini.
4. MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menyifatkan badminton kini menjadi sukan nombor satu negara berdasarkan prestasinya di peringkat antarabangsa. Walaupun bola sepak kekal sebagai sukan popular, namun jika dibandingkan dari segi prestasi, badminton telah membuktikan perkembangan positif sama ada di peringkat senior atau remaja.
5. FLEET International Holdings Sdn Bhd menjadi penaja utama kepada Kejohanan Badminton Tertutup Johor 2015 pada 18 hingga 20 Disember ini. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Fleet berkata, tujuan pertandingan ini adalah untuk memupuk bakat dan meningkatkan lagi skil pemain-pemain yang berpotensi.
6. JUARA Piala AFC, Johor Darul Ta'zim (JDT) nyata mendominasi senarai pencalonan Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur, Jumaat ini. Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad Harimau Selatan itu dicalonkan dalam enam daripada senarai yang ada bagi sejumlah lapan kategori. Safee Sali dan Amri Yahya yang menjadi nadi penting JDT merangkul kejuaraan Liga Super dan Piala AFC musim ini dilihat pilihan utama untuk Kategori Penyerang Terbaik.
7. NYON, Switzerland – Arsenal bakal berdepan tugas berat dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara apabila diundi menentang penyandang juara, Barcelona, genap 10 tahun selepas kedua pasukan berentap dalam final kejohanan bola sepak elit Eropah itu. Barcelona, yang memburu kejuaraan Eropah buat kali keenam menumpaskan Gunners 2-1 dalam pertemuan di Stade de France, Paris pada 2006.
8. BEREGU lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong meletakkan sasaran untuk terus cemerlang dengan merangkul kejuaraan Grand Prix (GP) Mexico yang bermula hari ini. Menurut V Shem, kejayaan menamatkan badi kejuaraan apabila merangkul gelaran pertama pada Grand Prix (GP) Terbuka Amerika Syarikat selain menambah keyakinan mereka turut menganggap pencapaian itu petanda positif. .

No comments:

Post a Comment