Wednesday, January 6, 2016

KEMAMAN - “Rumah ini akan dirobohkan dan kami empat beranak akan pindah tinggal di warung untuk mudahkan saya berniaga semula,” kata Roslina Abdul Kari, isteri Mohammad Zulkifli Ismail, 50, yang kisahnya menikam perompak hingga mati viral di media sosial.
Roslina, 36, berkata, keputusan untuk berpindah segera itu bagi meneruskan kehidupannya dan tiga anak selepas suaminya tidak lagi berada di sisi mereka.
Bagaimanapun, katanya, barang-barang dalam rumahnya kini termasuk peralatan kimpalan milik suaminya akan dipindahkan terlebih dahulu ke dalam rumah separuh siap milik mereka bersebelahan rumah bapanya yang terletak kira-kira 300 meter dari rumahnya sekarang.
“Waktu melawat suami di Penjara Marang minggu lalu, suami pesan suruh saya buka semula warung kami yang terletak lebih kurang 500 meter dari rumah, tapi dalam keadaan sekarang memang saya tak dapat berniaga lagi berikutan saya juga perlu hantar dan ambil dua anak sekolah setiap hari.
“Tugas itu sebelum ini suami yang buat dan sekarang saya ambil alih, sebab itu saya mahu pindah terus ke warung supaya senang saya memasak sebelum hantar anak ke sekolah dan balik buka warung,” katanya ketika dikunjungi Sinar Harian di rumahnya di Kampung Labohan, Kerteh, petang semalam.
Pasangan itu mengusahakan warung sarapan pagi yang terletak bersebelahan Masjid Kampung Labohan sejak lebih setahun lalu untuk menyara kehidupan mereka sekeluarga apabila Mohammad Zulkifli mengambil keputusan untuk menutup bengkel kimpalan yang terletak bersebelahan rumah mereka akibat besi dan wayar elektrik yang disimpan dalam bengkel dan sekitar rumah kerap dicuri.
Roslina tidak lagi membuka warungnya itu sejak suaminya ditahan dan direman bermula 7 Disember sehingga sekarang menyebabkan punca pendapatan mereka juga tiada.
Menurutnya, warungnya itu akan diubah suai bagi membolehkan dia dan tiga anaknya, Muhammad Afif, 9; Nur Aqiela, 8, yang menghidap autisme dan yang bongsu, Nur Athiera, 3, duduk berteduh di situ.
Katanya, sepatutnya dia dan suami merancang untuk merobohkan rumahnya itu yang didirikan di atas tanah rizab jalan pada tahun hadapan memandangkan mereka dalam proses membina rumah sendiri berdekatan rumah bapanya.
“Rumah ini sudah kami huni sejak 15 tahun lalu dan kami amat bersyukur sebab kerajaan benarkan kami tinggal di sini hingga hujung tahun ini cuma apabila berlaku kejadian yang tak diduga ini eloklah saya berpindah awal dan untuk pulihkan kembali semangat saya dan anak-anak.
“Lagipun saya trauma kerana dalam tempoh suami ditahan reman selama 14 hari masih ada lagi pencuri yang datang potong wayar elektrik di belakang rumah kami. Sepanjang tahun lalu sahaja dah lima kali rumah kami dipecah masuk dan berlaku kecurian besi serta wayar di sekitar rumah,” katanya.
Kata Roslina, sejak kejadian berkenaan berlaku dia jarang keluar rumah kerana masih belum bersedia melayan banyak pertanyaan dari orang ramai yang mahu tahu mengenai kejadian yang menimpa keluarga mereka itu.
Begitu pun, menurutnya, sokongan orang ramai dan pelbagai pihak yang datang melawat mereka empat beranak di rumah termasuk rakan suaminya yang tinggal jauh iaitu dari Kuala Terengganu sedikit sebanyak memberinya semangat untuk berdepan dengan ujian itu dengan tabah.
“Saya juga tahu orang ramai turut suarakan sokongan kepada suami dalam media sosial. Dari semua sokongan itu, saya rasa ada sikit kekuatan. Kami pun tidak mahu kejadian ini berlaku, namun ia sudah suratan takdir.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang menyokong dan susah payah beri sumbangan kepada kami, dengan sumbangan itulah saya sara keluarga waktu ini,” katanya.
Roslina berkata, anak sulungnya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Paka 2 memahami keadaan yang berlaku, bagaimanapun anak keduanya yang menghidap autisme dan anak bongsunya masih belum memahami apa-apa.
Jika diaju pertanyaan mengenai di mana bapa mereka, kedua-duanya hanya menjawab ‘Abah pergi kerja’.

No comments:

Post a Comment