Saturday, June 27, 2015



Ipoh – Seorang pegawai bomba yang tidak sedarkan diri akibat dipatuk ular tedung selar ketika mengadakan demonstrasi menangkap haiwan berbisa di Lumut, Isnin lalu, kini dalam keadaan stabil.
Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Amer Yusof berkata, kejadian berlaku ketika pegawai berkenaan, Harun Hasan, 50, yang juga pakar menangkap haiwan berbisa membuat demonstrasi pada satu acara di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Lumut pada jam 5 petang.
“Harun cedera pada lengan kanan dipatuk ular sepanjang 2.5 meter itu.
“Pada mulanya dia mendapat rawatan kecemasan di Hospital Angkatan Tentera dalam Pangkalan TLDM sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, di sini, yang mempunyai bekalan ubat anti-venom ular tedung selar.
“Dia kini dalam keadaan stabil, namun masih dalam pengawasan doktor,” katanya yang memberitahu Harun bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Serdang, Kedah.
Menurutnya, mereka yang terbabit dalam demonstrasi itu adalah pakar serta menjadi tenaga pengajar kepada agensi kerajaan lain.

No comments:

Post a Comment