Monday, July 6, 2015

ISLAMKAH KITA DI JALAN RAYA?

d10z0pat0xn
Jika ingin melihat ‘warna sebenar’ seseorang, berikan dia kuasa. Apabila berkuasa barulah kita nampak diri seseorang yang hakiki dan sejati. Segala sifat mazmumahnya seperti tamak, ego dan marah akan terserlah. Begitu yang kerap dipesankan oleh orang yang bijaksana. Namun, dalam konteks hari ini, jika ingin melihat warna sebenar seseorang, lihatlah bagaimana dia memandu di jalan raya.
Ya, jalan raya menyerlah ‘warna’ kita yang sebenar. Ketika berada di jalan raya, semua sifat mazmumah dalam diri kita akan tercungkil keluar. Pelbagai cabaran dan ujian di atas jalan raya akan menyebabkan sifat sebenar diri kita (yang selama ini terpendam) akan terserlah. Apa ada di dalam hati kita sama ada sifat mahmudah atau mazmumah akan terserlah ketika berada di jalan raya khususnya ketika memandu kenderaan.
Sifat marah misalnya, akan terkeluar apabila ada kenderaan lain memotong kenderaan kita dengan cara yang berbahaya. Jika kita membalas perlakuan itu dengan cara menyumpah, memaki hamun, membunyikan hon dengan kuat tanda tidak puas hati, maka sahlah kita seorang yang pemarah.
Sifat mementingkan diri, akan terkeluar apabila kita memotong barisan atau mengambil laluan kecemasan apabila berlaku kesesakan lalu lintas. Begitu juga dengan sifat ego, apabila kita memandu laju tanpa memikirkan keselamatan orang lain dalam kenderaan yang kita pandu atau kenderaan lain yang sama-sama sedang menggunakan jalan raya.
Begitu juga dengan sifat-sifat mahmudah, akan mudah terserlah ketika kita memandu. Jika kita dengan senang hati, memberi laluan, mengalah dan sabar berdepan dengan kerenah pemandu lain, maka itu menunjukkan kita memiliki sifat sabar, pemaaf dan pemurah.
Bagaimana sikap kita dengan pemandu motosikal, yang hakikatnya perlu selalu diberi kasihan belas oleh pemandu kenderaan-kenderaan yang lebih besar? Bagaimana pula ketika giliran kita bergerak ‘disambar’ dari belakang secara tiba-tiba? Jika kita masih boleh mengurut dada dan tersenyum, itu petanda ada sifat pemaaf dan sabar dalam diri kita.
Kata orang, anehnya rakyat Malaysia ini yang terkenal dengan sifat lemah lembut, mesra dan berbudi bahasa, tiba-tiba bertukar menjadi ganas, kasar dan tidak bertimbang rasa apabila memegang stereng. Kata-kata itu ada kebenarannya. Kadangkala kita lihat seorang yang ‘warak’, berwatak lemah lembut, penyayang, mesra dan sabar bertukar menjadi ‘brutal’ dan ‘robust’ apabila memandu jalan raya.
Ya, di jalan rayalah kita menjadi diri kita yang sebenar. Rupa-rupanya diri kita ketika di pejabat, di rumah, malah di masjid bukanlah diri kita yang sebenar kerana di tempat-tempat itu kita belum tercabar. Sifat mazmumah yang umpama singa itu masih tidur dan belum dikejutkan. Tetapi sebaik melihat mangsanya atau musuhnya, barulah singa yang tidur itu terjaga dan mula mengaum dan mencakar.
Di masjid, saf-saf solat jemaah umat Islam kelihatan begitu teratur. Tidak ada yang mahu berebut–rebut dan bertolak-tolakan. Semuanya tertib mengikut imam dari satu rukun ke satu rukun yang lain. Tidak ada yang terlajak mendahului imam dan bertindak di luar lingkungan rukun solat. Malangnya, apabila memandu, semuanya hendak cepat, potong memotong berlaku dengan rakusnya, melanggar lampu merah dan melebihi had laju.
Ini menunjukkan impak solat gagal diterjemahkan dalam kehidupan sehari-hari terutamanya sewaktu memandu di jalan raya. Pengajaran, hikmah dan tuntutan hidup berdisiplin, berkasih sayang dan mematuhi undang-undang yang selama ini dipraktikkan dalam solat tidak dilanjutkan menjadi cara hidup di jalan raya.
Jalan raya kita tanpa disedari bertukar menjadi jalan mazmumah. Marah, ego, maki hamun, mementingkan diri, tamak dan lain-lain dilampiaskan semahu-mahunya di jalan raya. Syaitan menjadi sangat dominan dan berjaya merasuk umat Islam ketika mereka memandu. Apa tidaknya, segala kesukaan dan hiburan bagi syaitan telah menjadi budaya yang diamalkan secara merata dan berleluasa di jalan raya.
Mari kita ubah keadaan ini. Jangan jadikan lagi jalan raya kita sebagai jalan mazmumah sebaiknya tukar kepada jalan mahmudah. Amalkanlah cara hidup berkasih sayang, saling berbalas senyuman, bertolak ansur, maaf memaafkan ketika memandu dan menggunakan jalan raya. Binalah perisai diri daripada dikalahkan oleh godaan dan hasutan syaitan dengan membiasakan lidah dan hati dengan mengingati Allah.
Islam ialah agama yang paling praktikal. Ia sesuai diamalkan di mana sahaja. Di tempat yang gelap, Islam akan menerangi. Di tempat yang bermusuh, Islam akan mendamaikan. Di tempat yang sempit, Islam akan melapangkan. Semakin teruk dan buruk sesuatu keadaan, maka semakin terserlah keindahan dan kekuatan Islam jika berjaya diamalkan.
Maka jika demikian halnya, maka di jalan rayalah peluang untuk kita menyerlahkan bukti keindahan dan kekuatan Islam. ‘Akhlak Al Quran’ mesti dipraktikkan oleh setiap individu Muslim di jalan raya dan ini sekali gus membezakan sikap umat Islam dengan orang bukan Islam ketika mereka  memandu, sewaktu terlibat dengan kemalangan dan apabila berdepan dengan undang-undang jalan raya.
Islam ialah agama yang selamat dan menyelamatkan. Kita adalah sebaik-baik manusia yang dilahirkan di kalangan manusia dengan syarat kita melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar. Misi amar makruf dan nahi mungkar inilah yang mesti diperjuangkan dalam semua bidang kehidupan, pada setiap tempat dan masa (termasuk ketika berada di jalan raya).   Pada bahu umat Islam terpikul satu misi untuk menyelamatkan seluruh manusia dan dunia daripada kehancuran dan malapetaka.
Ketika kini laporan statistik korban kemalangan maut terus meningkat walaupun telah dijalankan pelbagai kempen dan operasi, maka inilah masa yang paling tepat untuk umat Islam muncul sebagai penyelamat!
Soalnya, bagaimanakah kita mampu menyelamatkan jika kita sendiri belum selamat? Mengapa ada di kalangan kita yang sanggup mempertaruhkan nyawa diri sendiri dan orang lain dengan sikap tidak berhati-hati ketika memandu di jalan raya?
Ya, jika sudah ditakdirkan mati di jalan raya apa boleh buat, kerana itu telah termaktub. Namun, kita dituntut malah diwajibkan untuk menjaga keselamatan nyawa. Ini suatu yang bersifat ‘dharuriyat’ dan termasuk dalam tujuan suatu syariat dilaksanakan. Justeru, haram hukumnya jika kita sengaja menjatuhkan diri kita kepada kebinasaan. Ingat, memandu lebih dari had laju adalah satu dosa!
Marilah kita menjadi orang yang selamat dan menyelamatkan dengan memandu dari hati yang tenang apabila berada di jalan raya. Hati yang tenang itu apabila wujudnya kasih sayang dalam diri. Dan bila disusuri dengan teliti… kasih sayang kepada manusia itu sumbernya tidak lain melainkan iman kepada Allah jua. Justeru, memandulah dari hati, memandulah dengan iman.
Ketika memandu jangan hanya ingat insan yang tersayang tetapi ingatlah Tuhan yang Maha Pengasih dan Penyayang! InsyaAllah, jalan raya akan menjadi ladang pahala, litar keberkatan dan sumur untuk mendapat kecintaan Allah, hasil mencintai sesama manusia.

No comments:

Post a Comment