Monday, July 6, 2015

ISLAM ITU MATLAMAT BUKAN ALAT

Anakmiskin_zps5ba6997f





 Islam seharusnya jadi matlamat bukan alat. Namun ustaz muda itu masih menolak. Apa boleh buat. Saya hanya boleh memberi saranan dan pandangan. Soal mempengaruhi fikiran dan hatinya, itu adalah di luar kawalan saya. Perbincangan yang tadinya bermula dengan tenang, mula bertukar panas. Namun saya tekad meneruskan perbualan. Insya-Allah, bagaimana panas sekalipun saya berjanji pada diri tidak akan mengeluarkan kata-kata yang kesat dan kasar.
“Untuk maju, kaya dan berjaya kita mesti amalkan Islam,” kata ustaz muda itu lagi.
“Bagi saya, amalkan Islam kita akan maju,” ujar saya.
“Tidak ada bezanya antara kata-kata tuan dan saya,” tegasnya.
Saya diam. Namun dalam hati saya tetap menolak. Bagi saya ada bezanya antara Islam yang ‘diperalatkan’ dengan Islam yang menjadi matlamat. Saya masih ingat dalam sebuah kursus Rumah Tangga Bahagia yang pernah saya hadiri. Seorang peserta meminta penjelasan tentang perbezaan antara Islam yang menjadi alat dengan Islam yang menjadi matlamat dalam rumah tangga.
“Mari kita bina rumah tangga bahagia dengan mengamalkan Islam,” Begitulah yang selalu kita dengar dalam seminar atau kursus kekeluargaan bercorak Islam.
Pada saya, saranan itu sepatutnya diperbetulkan dengan berkata, “Mari kita jadikan rumah tangga sebagai wadah menegakkan Islam.”
Saya jelaskan pada peserta itu dengan berkata, “Kita dahulukan hak Allah. Kita tegakkan hukum-hakam Allah dalam rumah tangga kita. Rumah tangga kita menjadi alat untuk menegakkan agama. Itu sewajarnya.
Hak Allah agar kalimah-Nya ditegakkan mesti didahulukan. Kebahagiaan kita jatuh nombor dua. Insya-Allah, jika kita menjaga hukum-hakam Allah, Allah akan menjaga kita dan akan mengurniakan kebahagiaan sebagai ganjaran.”
“Jadi salahlah kalau saya katakan, demi kebahagiaan keluarga kita perlu amalkan Islam?”
“Tidak salah. Cuma pada pandangan saya itu kurang tepat. Bagi saya apabila kita amalkan Islam, insya-Allah rumah tangga kita bahagia. Bukan sebaliknya.”
“Bukan sebaliknya? Apa maksud tuan?” tanya peserta itu lagi.
“Maksud saya, niat kita hendak amalkan Islam dalam rumah tangga itulah yang mesti didahulukan. Bukan niat untuk mendapat bahagia.”
“Maksudnya dahulukan hak Allah, bukan hak kita?” tanyanya lagi.
Alhamdulillah, dia sudah dapat apa yang saya maksudkan. Sambil mengangguk saya tersenyum.
Saya teringat sebuah hadis yang merupakan pesan Rasulullah kepada Abdullah bin Abbas: “Ingin aku ajarkan kepadamu beberapa untai kalimat: Jagalah Allah, nescaya Dia akan menjagamu. Jagalah Allah, nescaya kau dapati Dia di hadapanmu. Jika engkau hendak meminta, mintalah kepada Allah, dan jika engkau hendak memohon pertolongan, mohonlah kepada Allah.
Ketahuilah, seandainya seluruh umat bersatu untuk memberimu suatu keuntungan, maka hal itu tidak akan kamu peroleh selain daripada apa yang telah Allah tetapkan untukmu. Dan andai mereka bersatu untuk melakukan sesuatu yang membahayakanmu, maka hal itu tidak akan membahayakanmu kecuali apa yang telah Allah tetapkan untuk dirimu. Pena telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (Riwayat al-Tirmizi)
Begitulah juga dalam seminar-seminar perniagaan atau usahawan Islam. Apabila berpeluang saya selalu mengingatkan, keuntungan dalam perniagaan jangan jadikan matlamat. Itu hanya alat.
Yang menjadi matlamat ialah menegakkan hukum dan syariat Allah dalam sistem perniagaan. Walaupun mungkin tidak mendapat keuntungan, tetapi usaha menegakkan hukum Allah itu sudah dianggap berjaya.
Letaknya kejayaan bukan pada keuntungan tetapi sejauh mana kita berjaya menegakkan hukum Allah dalam perniagaan dan kehidupan. Saya mengingatkan tentang solat Duha yang sering dijadikan kaedah untuk mendapat rezeki, sedangkan yang lebih tepat solat Duha ialah kaedah untuk mendekatkan diri kepada Allah; Tuhan yang Maha Pemberi Rezeki. Saya tidak jemu-jemu mengingatkan diri sendiri dan orang lain bahawa ‘pemberi hadiah’ mesti lebih diutamakan daripada ‘hadiah-Nya’.
Begitu juga ketika berdepan dengan ‘pemain-pemain’ industri sistem kewangan Islam apabila saya mengendalikan program latihan bersama-sama mereka. Yakni mereka yang bertanggungjawab memasarkan produk-produk patuh syariat menerusi organisasi kewangan Islam seperti bank dan syarikat takaful. Sering saya berpesan agar jangan produk dan sistem sahaja yang patuh syariah tetapi manusia yang menjalankan sistem yang menyampaikan produk tidak syariah.
Memang benar kini produk-produk patuh syariat sama ada dalam industri makanan, penerbitan, media massa, kewangan, pakaian dan pelancongan telah menjana keuntungan yang tinggi. Produk sebegini mendapat permintaan tinggi dalam pasaran semasa. Justeru ramai yang berebut-rebut untuk menceburi bidang ini.
Soalnya, apakah niat sebenar kita apabila menceburi bidang-bidang tersebut? Apakah ikhlas untuk menegakkan Islam atau hanya semata-mata untuk mendapat keuntungan atas nama Islam? Bolehkah kita terus istiqamah dan komited sekiranya diuji dengan kegagalan atau kerugian? Jangan sampai apabila untung kita genggam, tetapi apabila rugi kita lepaskan. Sedangkan jika kita ikhlas kerana Allah, untung atau rugi, Islam tetap kita genggam.
Ya, kembali kepada ustaz muda di hadapan saya yang sangat berketerampilan ini. Dengan motosikal besar berkuasa tinggi dia nampak gah dan bergaya. Sejak tadi dia berhujah, untuk Islam dilihat hebat golongan agama terutama para ustaz mesti dilihat hebat. Hebat pada pakaian, kenderaan, rumah dan lain-lain. Itulah cara untuk menundukkan ego para penentang Islam, dakwanya.
“Apabila kita guna motosikal besar, barulah pemburu dunia akan buka mata. Wah, orang agama pun memiliki dunia, kata mereka. Jangan sampai dikatakan orang, kita mencemuh dunia kerana tidak memilikinya!” tekannya berkali-kali.
“Tetapi dunia di tangan pemburu dunia jauh lebih hebat. Jauh lebih bergaya dan hebat. Mereka bukan sahaja memiliki motosikal yang lebih besar, tetapi bot mewah, helikopter, jet peribadi bahkan vila yang berbilion-bilion harganya. Setakat yang ada pada kita, masih dipandang sebelah mata,” balas saya.
“Kita pun sedang berusaha ke arah itu.”
“Untuk jadi lebih kaya dan bergaya? Untuk apa?”
“Untuk dakwah. Untuk mempamerkan kekuatan dan keindahan Islam.”
“Di manakah letaknya keindahan Islam?” tanya saya semula.
Melihat dia diam saya menambah, “pada dunia yang dimiliki oleh orang agama? Tidak, pada saya indahnya Islam apabila orang agama memiliki akhlak yang baik?”
Dunia untuk menarik hati orang dunia? Saya segera teringat firman Allah: “Dialah menyatukan antara hati mereka. Jika engkau menafkahkan segala yang ada di bumi, pasti engkau tidak dapat menyatukan hati mereka tetapi Allah telah menyatupadukan antara mereka.” (Al-Anfal 8: 63)
“Akhlak baik tetapi miskin dan melepek buat apa?” asaknya terus menerus.
“Subhanallah, bukan saya menyuruh kita jadi miskin. Kaya tidak salah. Tetapi kekayaan bukan faktor utama untuk menarik hati dalam berdakwah. Manusia tertarik pada akhlak orang agama, bukan dunia yang dimiliki oleh orang agama. Cuma untuk dihormati, orang agama jangan nampak merempat, ada sumber rezeki sendiri dan tidak menagih dunia daripada orang yang diseru. ”
Jelas daripada mimik mukanya, ustaz muda itu masih tidak bersetuju. Dengan segala produk Islamik yang dikeluarkan dan dipasarkannya, dia berjaya bergelar usahawan yang berjaya.
“Imej Islam yang perlu kita bina mesti nampak kaya, kuat, bergaya dan mampu berkuasa.”
“Apakah itu cara Rasulullah berdakwah?” tanya saya.
“Apakah itu imej yang diperlihatkan oleh Rasulullah ketika mula berdakwah di kota Makkah. Imej kaya? Imej bergaya?”
“Kita perlu buka mata mereka terlebih dahulu dengan dunia sebelum buka hati mereka untuk iman. Buka mata mereka dengan imej bergaya kemudian barulah mereka datang dekat untuk dibuka hatinya menerima Islam,” hujahnya.
“Islam mula diterima oleh golongan hamba dan fakir miskin pada peringkat awalnya kerana imej keadilan dan kasih sayangnya, bukan imej mewah dan kaya raya,” tekan saya sekali lagi.
“Mana ada lagi hamba dewasa ini. Sekarang kita perlu tarik golongan korporat dan kaya raya untuk mendekati Islam. Dengan kemasukan mereka ke dalam kumpulan pejuang Islam, kita akan dapat kekuatan.”
“Golongan hamba memanglah tidak ada lagi, tetapi orang fakir, miskin dan umumnya golongan marhaen masih ramai. Hidup mereka kian terhimpit oleh keadaan ekonomi yang tidak menentu kini. Harga barang keperluan semakin meningkat, kos pendidikan anak-anak kian melambung.”
“Itulah sebabnya. Apabila orang kaya sudah berjaya disedarkan, merekalah yang akan membantu golongan ini,” hujahnya lagi.
“Sampai bilakah kita harus menunggu sehingga kita berjaya menarik ramai orang kaya ke dalam kumpulan pejuang Islam untuk membantu orang miskin?”
“Mengapa awak kata begitu?”
“Ini mengambil masa. Kita perlu tunjuk kaya untuk menarik orang kaya, kemudian barulah orang kaya itu boleh membantu orang miskin.”
“Jadi bagaimana yang tidak memenatkan?”
“Wang yang kita usahakan untuk menunjukkan kita bergaya dan kaya itu terus kita gunakan untuk membantu si miskin.”
“Saya tidak setuju!” bantahnya terus terang.
“Sebab?”
“Ertinya saya perlu korbankan motosikal besar dan kereta mewah saya untuk membantu si miskin?”
“Tidak begitu. Motosikal dan kereta tidak salah. Tetapi sebagai pejuang, bersederhanalah. Tidak salah punya kereta dan motosikal tetapi tidak perlu terlalu mewah. Lebihan wang itu boleh digunakan untuk membantu orang miskin atau untuk membina pusat pengajian dan projek ekonomi ummah. Tidak perlu lagi kumpulan kita atau murid-murid tahfiz mengutip derma, membuka tabung untuk memohon bantuan dan ihsan orang lain untuk membantu perjuangan kita.”
Ustaz muda itu masih mencemik.
Melihat mimik mukanya itu saya menambah lagi, “Ustaz, kalau kita sendiri payah untuk berkorban, apalagi orang lain. Jika benar Islam menjadi matlamat, buat dulu apa yang mampu kita buat, baru Allah membantu untuk membuat apa yang tidak mampu kita buat. Ramai lagi para gelandangan yang tidak punya makanan dan merempat di jalan-jalan.”
Dia masih mencemik.
“Tetapi kalau Islam hanya jadi alat, bermakna kita perlu kumpul kekayaan dahulu barulah membantu Islam. Dalam sejarah, Qarun pun asalnya berfikiran begitu.”
“Eh, saya bukan seperti itu! Motosikal besar saya ini bukan untuk meninggikan diri, tetapi untuk menunjukkan kehebatan Islam,” pintasnya.
“Baguslah jika begitu. Mudah-mudahan dengan motosikal besar itu ustaz boleh mendekati orang kaya yang punya hobi yang sama. Dengan itu ustaz boleh berdakwah kepada mereka,” kata saya.
Akhirnya saya mengalah. Saya cuma risau agama terfitnah oleh golongan agama. Yang menjadi sangat kaya dengan menjual produk-produk Islamik yang pelbagai jenama. Sudah ada kismis, air mineral, pakaian, makanan yang ‘dibacakan’ 30 juz al-Quran lalu dijual dengan harga yang tinggi.
Apa salahnya kita bantu produk-produk Islam, bukankah itu untuk menguatkan Islam? Itu dakwa mereka. Sedangkan jika diteliti,  itulah jalan yang melahirkan ‘kapitalis agama’ –  mereka yang mengeksploitasi Islam demi kepentingan diri. Islam terus menjadi alat bukan matlamat.  Hasilnya, orang kecewa dengan agama kerana ‘pengkhianatan’ orang agama!

No comments:

Post a Comment