Sunday, July 5, 2015



"Salam sejahtera akhiratku"
Bahagian 2.

6 tahun sebelum itu. 

"Semua orang ada pasangan. Aku pun ingin juga ada pasangan."

Amirul Irwan. Namanya sahaja mampu melembutkan hati, 13 tahun usianya. Persekitaran yang sentiasa bercerita hal cinta membuat dia sentiasa tertanya bagaimana ingin dapatkan pasangan.

Jadi, bagaimanakah perasaan cinta itu wujud? Apabila seseorang menemui kenalan yang menarik dan pada pandangan seseorang itu dia baik maka, minda akan membina sinaps sehingga menyebabkan rembesan hormon neurokimia. Kesannya? Individu tersebut akan mengalami kegersangan atau 'arousal', penarikan atau 'attraction' mahupun obsesi yang melampau. Minda juga berkemampuan untuk membina model seseorang itu berdasarkan tanggapan individu tersebut kepadanya. Satu illusi. Sesuatu yang diharap ciri yang diinginkan ada dalam diri orang tersebut sehingga timbulnya persoalan, benarkah seseorang itu apabila 'jatuh cinta', mereka benar-benar jatuh cinta? Boleh jadi mereka sekadar mencintai apa yang dianggap mereka kepada individu tersebut.

Proses begini, pada peringkat awal muda remaja, dinamakan ketidakseimbangan hormon. Motif perhubungan biasanya sekadar ingin melunaskan nafsu, ingin merangsang minda supaya sentiasa berada pada tahap 'seronok'. Sifat manusia, memang sukakan keseronokkan.
Mereka yang biasa adakan hubungan haram pada awal remaja, akan terbawa-bawa sehingga ke pertengahan 20-an. Tidak akan mampu dikenali apa itu cinta yang sebenar.

"Amirul, pergi solat berjemaah dekat masjid tu nak," ibu Amirul menegur, "ayah kau dah tak de. Kalau bukan kau siapa lagi yang dia nak harap dalam kubur tu?"

Amirul patuh. Tanpa banyak alasan, Amirul menuju ke basikal merahnya. Berkilat, baru dibasuh, pemberian arwah ayahnya. Sayangnya Amirul kepada ayahnya membuatkan dia lupa tentang kemahuannya ingin berpasangan. Ayahnya meninggal dunia di dalam tidur. Tenang sahaja pemergiannya.

Di sinilah sebab pertama mengapa Amirul Irwan meninggal sebagai Husnul Khotimah.

"Ustaz, bantulah saya. Mengapa saya punyai perasaan sebegini?"

"Jangan layan, utamakanlah ibubapamu," Ustaz Noramin menambah, "jika Amirul persoal ramai yang lakukan, elok sahaja mereka. Ingatlah bahawa dalam 1000 orang, 999 akan mengikut hawa nafsu dan syaitan."

Air mula membasahi kelopak mata Amirul Irwan, sepet orangnya. Pendek tetapi, berhati besar. Jauh di sudut jiwa Amirul, telah wujudnya penyesalan, penyesalan itulah yang kemudiannya memandu kehidupannya bermula hari itu.

Tetapi, bukan mudah.

"Ustaz, manusia masuk syurga sebab apa?"

Ustaznya diam sebentar, "satu hari kamu akan tahu."

"Amirul, selepas ini kita tadarus bersama."

Tadarus malam itu, selepas Isyak. Kali pertama sebenarnya Amirul membaca al-Quran dalam majlis tadarus.

Lazimnya peraturan dalam tadarus al-Quran, bergilir-gilir ahli membaca mengikut ayat berlainan. Ayat pertama sehingga ayat ke-15 orang lain, ayat seterusnya sehingga ayat ke-30 pula orang lain tetapi, Ustaz Noramin mengambil kaedah tadarus berpengajaran. Ustaz Noramin sebagai ketua, bacaan dimulai dari ayat satu sehingga ayat ke-15 contohnya. Kali pertama ustaz membacanya, kali kedua ustaz dan para ahli tadarus manakala kali ketiga setiap ahli tadarus membaca dalam lingkup ayat yang sama. Jadi, ahli tadarus dapat meningkatkan keupayaan pembacaan dan keyakinan diri. Selain juga, kuranglah sikit sifat malu jika ada ahli yang gagap. Biasanya malu itu yang berlaku sehingga orang lari dari tadarus al-Quran.

"Alhamdulilah, lancar bacaan kamu Amirul."

"Amanah orang tua kepada saya, ustaz."

Ustaznya senyum, "Amirul, ingat satu perkara ini," tangannya diletakkan diatas kepala anak murid kesayangannya.

"Kita melazimi perkara yang disukai Allah agar kita akan meninggalkan dunia ketika melakukan perkara disukai Allah. Semoga dengan itu, kita mampu mendapatkan keredhaan Allah di akhirat kelak."

Tulusly,
Ahza Adhwa.

Bahagian 1
https://goo.gl/IiPYXg

No comments:

Post a Comment