Tuesday, December 8, 2015

ISU SEMASA UPDATE 8 DEC

1.  ALOR SETAR - Seorang ahli perniagaan Malaysia maut manakala isterinya parah selepas ditembak bertubi-tubi dengan senjata M-16 ketika dalam perjalanan ke bandar Hatyai, selatan Thailand, hari ini. Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari waktu tempatan (1 petang Malaysia) semasa mangsa Lee Ah Han, 54, dan isterinya yang berusia 40-an yang juga warga Malaysia dalam perjalanan dari sempadan Malaysia-Thailand di Danok ke Hatyai.  

2.  KUALA LUMPUR - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd. Zaid Ibrahim hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet untuk membuat pernyataan jelik melalui laman blog miliknya berhubung gesaan agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, tiga bulan lalu.  

3.  KUALA LUMPUR - Yayasan Anti Rasuah Malaysia akan mengadakan persidangan antarabangsa bertemakan ‘Meletakkan Etika Kerja Dalam Perniagaan dan Kerajaan’ di Hotel Pullman, Bangsar pada Khamis ini (10 Dis). Persidangan terbesar yang pertama kali diadakan sejak yayasan itu ditubuhkan setahun lalu, bertepatan dengan Hari Anti Rasuah Antarabangsa yang disambut pada 9 Disember setiap tahun.  

4.  NEW DELHI - Lebih daripada 90 rakyat Malaysia masih terkandas di bilik hotel dan rumah mereka dengan pihak berkuasa India memperhebatkan operasi besar-besaran bagi mencari dan menyelamat mangsa.  Lebih banyak bot dan helikopter digunakan hari ini berikutan lawatan Perdana Menteri, Narendra Modi lewat petang semalam ke kawasan yang terjejas teruk dengan gelombang kedua banjir.  

5.  SEPANG - Malaysia hari ini menyerahkan sepasang tapir Malaya bagi dipinjamkan kepada taman botanikal dan zoo Nagasaki Biopark di Jepun selama 10 tahun untuk aktiviti pemuliharaan hidupan liar. Malaysia bakal memperoleh faedah jangka masa panjang melalui perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pembiakan spesies hidupan liar terancam melalui teknologi pembiakan dan ‘husbandri’ hidupan liar dalam kurungan.  

6.  KUALA LUMPUR - Kisah keretakan perkahwinan pelakon Fasha Sandha dan suaminya, Rizal Ashram Ramli atau Jejai kini semakin hangat diperkatakan. Pelakon itu dikatakan sudah pun mengunjungi sebuah pejabat agama Islam di sini, bagi menguruskan soal membabitkan perceraiannya, beberapa hari yang lalu.  

7.  KUALA LUMPUR - Jumlah pengguna i-Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 58.09 peratus kepada 3.10 juta pada suku ketiga 2015 berbanding 1.96 juta pada tempoh sama tahun lepas. Dalam kenyataan hari ini, KWSP berkata, penggunaan laman web myEPF naik 28.53 peratus kepada 4.03 juta pada suku ketiga 2015 berbanding 3.10 juta pada suku sama 2014.  

8.  KUALA LUMPUR - Polis hari ini mengambil keterangan daripada Tian Chua berhubung pertemuan kontroversi Anggota Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H. Kiram, anak perempuan bekas ketua pengganas yang menceroboh Lahad Datu, Sabah pada 2013.  

9.  KUALA LUMPUR - Cabaran terbesar Indonesia untuk menyertai Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ialah perusahaan milik negaranya, yang menyumbang sebahagian besar kepada ekonomi negara tersebut. Perjanjian perdagangan mega itu tidak mesra perusahaan milik negara dan justeru itu Indonesia perlu membuat beberapa penyesuaian berkaitan perkara tersebut, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Sofyan A Djalil.  

10.  ROME - Kisah kejayaan Itali dalam membanteras ancaman mafia dan melaksanakan pemeriksaan keselamatan sempadan yang ketat mendapat perhatian Malaysia yang terletak beribu-ribu batu jauhnya. Malah, ia mendorong Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan lawatan tiga hari ke negara itu dan melihat dengan lebih dekat tentang cara memerangi terus pada puncanya perkara berkaitan jenayah terancang, keganasan dan migran.  

11.  KAHERAH – Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam serangan bom di sebuah kelab malam di ibu negara Mesir hari ini. Sumber keselamatan negara itu berkata, serangan terbabit yang berlaku di kawasan Agouza, dipercayai dilakukan oleh bekas pekerja kelab berkenaan yang bertindak melontarkan bom jenis molotov cocktail.  

12.  PUTRAJAYA - Bekas peguam, N. Pathmanabhan dan tiga bekas pekerja ladangnya kekal diperintah menjalani hukuman mati kerana membunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga rakannya, lima tahun lalu. Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini selepas menolak rayuan keempat-empatnya terhadap sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh keempat-empat mangsa.  

13.  KUALA LUMPUR - Anak sulung kepada jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya menerima dengan hati terbuka keputusan mahkamah yang mengekalkan hukuman mati ke atas empat pembunuh ibunya. Erni Dekritawati Yuliana Buhari berkata, beliau amat berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus-putus mendoakan dan memberikan sokongan moral kepada beliau dan keluarganya.  

14.  BELGRADE – Ketegangan hubungan antara Moscow dengan Ankara mula reda apabila Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu mengucapkan salam takziah kepada Rusia berhubung kematian seorang juruterbang yang maut selepas ditembak jatuh oleh pesawat pejuang negara itu pada minggu lalu.  

15.  BANGKOK - THAILAND. Polis Thai mengesahkan kewujudan dokumen bocor mengenai maklumat dari Perkhidmatan Keselamatan Rusia yang memberi amaran kepada Majlis Keselamatan Nasional tentang kemungkinan 10 rakyat Syria yang mempunyai hubungan dengan kumpulan militan Daesh (IS) memasuki Thailand.

16.  LONDON - BRITAIN. hampir 90 peratus hoverboard yang diimport telah dirampas sejak bulan Oktober lepas dengan alasan gajet berkenaan berisiko tinggi untuk meletup. Menurut laporan CNN Money, 15,000 hoverboard dirampas di seluruh negara kerana dilengkapi plug yang tidak mematuhi piawaian.

17.  PUTRAJAYA - Sesi persekolahan tahun 2016 bagi empat negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor akan bermula pada 3 Januari manakala negeri-negeri lain 4 Januari. Tarikh akhir persekolahan bagi empat negeri berkenaan adalah pada 24 November manakala bagi negeri-negeri lain pada 25 November.

18.  SHAH ALAM – Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (RUU MKN) yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam didakwa bukan sahaja melanggari bahkan merampas hak Yang Dipertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat seperti termaktub dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

19.  KOTA TINGGI - Usaha dua pemandu yang cuba membawa masuk 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia berjaya dipatahkan polis di kawasan Tanjung Balau, Bandar Penawar, dekat sini, awal pagi semalam.

20.  SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menahan empat lelaki disyaki ahli kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di Khilafah Centre, Bandar Baru Bangi, hari ini. Keempat- empat lelaki tersebut ditahan kerana mempertikaikan fatwa yang berkuatkuasa serta bertindak menyebarkan pendapat yg bertentangan dengan fatwa (Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Selangor)(1995).

21.  SHAH ALAM - Proses perceraian pasangan secara 'fast track' atau segera oleh Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) bukan menggalakkan keruntuhan rumah tangga tetapi bertujuan mengurangkan lambakan kes tertunggak, kata Ketua Hakim Syarie Selangor, Dr Mohd Na'im Mokhtar.

22.  KUANTAN - Dua lelaki bersenjatakan tukul serta pedang samurai merompak sebuah kedai emas di Jalan Mahkota di sini petang ini dan melarikan sedulang barang kemas dianggar bernilai RM80,000. Kedua-kedua suspek yang memakai topeng menyerbu masuk ke dalam premis itu dan meminta pemiliknya, seorang wanita berumur 50an, dan seorang lelaki berusia 20an supaya tidak membuat bising.

23.  KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu lebih ramai golongan Orang Kurang Upaya di negara ini berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Dianggarkan terdapat 4.4 juta golongan kurang upaya di Malaysia, namun hanya 506,228 yang berdaftar dengan jabatan itu.

24.  KUALA LUMPUR - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Kesihatan digesa supaya mengeluarkan garis panduan yang jelas berkenaan pemakaian jururawat beragama Islam di hospital kerajaan dan swasta negara ini. Ini berikutan terdapat banyak aduan berkenaan diskriminasi terhadap jururawat beragama Islam yang melarang kakitangannya mengenakan pakaian menutup aurat.

25.  ALOR GAJAH - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengharamkan penggunaan rokok elektronik dan vape di kalangan kakitangan dan pelajar di kampus universiti itu. Langkah tersebut sebagai satu kaedah terbaik untuk mengawal gejala negatif yang wujud melalui amalan menyedut vape itu.

26.  KUALA LUMPUR - Pelabur asing, terutama dari China akan menggunakan Malaysia sebagai 'tingkap' untuk mendapat manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), yang menawarkan pertumbuhan dalam eksport.

27.  SHAH ALAM – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengakui tidak pernah menggalakkan anak-anaknya untuk terlibat dalam bidang politik. Menurutnya, pilihan untuk menyertai dunia politik perlu dipilih dan diputuskan oleh anak-anaknya sendiri.

28.  PUTRAJAYA - Kementerian Kewangan mengarahkan semua kementerian supaya membuat pembayaran bagi pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam pada minggu pertama tahun depan. Pembayaran tersebut diharap dapat membantu ibu bapa menyediakan barangan dan bayaran persekolahan anak-anak.

29.  SHAH ALAM - Seorang penganggur berumur 35 tahun yang diculik tiga lelaki di rumahnya pada Isnin lepas kerana masalah hutang, ditemui semula dalam keadaan selamat di sekitar Jalan Pos Baru di Klang pada Rabu, dua hari selepas kejadian. Polis menerima laporan daripada datuk mangsa berusia 84 tahun mengatakan cucunya itu dilarikan dari kediaman mereka di Jalan Turi Palm Grove, Klang.

30.  SHAH ALAM – Pemecatan bekas Ketua Wanita Umno Bahagian Gopeng, Datuk Hamidah Osman bukan sahaja menguatkan lagi semangat perjuangan beliau, malah turut mengukuhkan pengaruh dan rasa simpati rakan-rakan dan penyokong parti itu terhadapnya. Malah, kata Hamidah, ada ahli jawatankuasa dan penyokong yang ikut serta mahu keluar parti untuk bersama-sama dengannya.

31.  BUKIT MERTAJAM - Bomba mengambil masa lebih empat jam untuk memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah kilang papan di Bukit Tambun di sini, awal pagi tadi. Kebakaran berlaku pada 2.12 pagi tadi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian, 13 minit kemudian.

32.  PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengesahkan kehadiran ke Perhimpunan Agung Umno yang bermula Selasa depan, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

33.  KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memohon membatalkan saman dikemukakan seorang bekas pegawainya yang mendakwa SPRM berkomplot dan menindasnya berhubung kehilangan sejumlah wang yang merupakan barang kes (eksibit) dalam perbicaraan satu kes.

34.  SHAH ALAM - Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin disaran menggunakan kegagalan Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi menjelaskan isu RM2.6 bilion sebagai peluang kepada dirinya. Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan berkata, inilah ruang luas yang patut diambil oleh Muhyiddin untuk menjadi Presiden Umno menggantikan Najib.

35.  KUALA LUMPUR - Gara-gara mencederakan seorang penumpang wanita yang tidak mempunyai wang kecil ketika menaiki bas, seorang pemandu bas didenda RM500 atau dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.  D. Permal, 52, mengaku bersalah mencederakan Maria Zosima Traquina Ronquillo, seorang suri rumah warganegara Filipina dengan cara menolak wanita itu hingga jatuh dan menyebabkan cedera di bahu kiri dan  bengkak di lengan kiri.

36.  SHAH ALAM - Badan pemantau jenayah MyWatch menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti rakaman CCTV kejadian samun di sebuah RNR dan menyiasat sekiranya terdapat penglibatan orang dalam sendiri. Kejadian yang berlaku pada 2 Disember lepas di RNR Tapah Selatan menyaksikan wang tunai RM1.4 juta yang dibawa oleh empat mangsa telah disamun oleh enam suspek.

37.  KOTA KINABALU - Seorang remaja perempuan retak tempurung kepala selain mengalami pendarahan dalam kepala, dipercayai terjatuh dari tingkat  tiga sebuah apartmen di Jalan Kayu Madang, Telipok di sini malam tadi. Mangsa yang berusia 13 tahun telah dikejarkan ke Hospital Tuaran sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE 2) untuk menerima rawatan lanjut.

38.  KUALA LUMPUR - Sebanyak 10 lokasi mengalami gangguan bekalan air berikutan paip air pecah berhampiran Wisma Ecovest, Jalan Gombak, Setapak, petang tadi. Lokasi yang terlibat ialah Batu 3 dan 4 Gombak, Diamond Square, Taman P.Ramlee, Jalan Selamat, Jalan Ria, Jalan Sentosa, Jalan Sempurna, Jalan Air Panas dan Jalan Genting Klang.

39.  ALOR GAJAH - Seorang lelaki yang terjatuh di tengah lebuh raya selepas merempuh belakang sebuah treler maut digilis beberapa kenderaan di Kilometer 219.5 Lebuhraya Utara-Selatan tengah malam tadi. Kejadian kira-kira 12.45 tengah malam itu, motosikal yang ditunggang Mohd Shahrul Fitri Ahmad Said, 20, telah melanggar belakang sebuah treler lalu terjatuh di atas jalan. Mangsa kemudian telah digilis oleh kenderaan yang lalu lalang di situ.

40.  KUALA LUMPUR - Peguam, R Sivarasah mendakwa pihak polis Bukit Aman yang merakamkan keterangan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua hari ini tidak menyatakan jenis kesalahan yang dilakukan anak guamnya itu.  Tian Chua tidak disabitkan dalam mana-mana akta siasatan jenayah dan ia sekadar di peringkat kertas siasatan polis sahaja.

41.  SUNGAI PETANI - Abu mayat dua beradik yang ditemui mati di sebuah rumah di Taman Wira di sini pada Selasa lalu disemadikan di Wat Damrongratanaram di sini kira-kira 1 tengah hari tadi. Mayat mereka dibakar semalam. Barang-barang permainan kedua-dua beradik itu turut diletak pada tempat khas untuk meletak abu mayat.

42.  GEORGETOWN - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes tembakan ke atas dua individu di sebuah restoran di Jalan Paya Terubong di sini malam tadi. Lelaki berusia 47 tahun dan bekerja sendiri itu ditahan kira-kira pukul 2 petang hari ini. Lelaki itu dipercayai bersembunyi di sini bagi mengelak daripada dikesan pihak polis.

43.  BERA - Seorang pekedai runcit ditahan kerana menjual rokok dan minuman keras seludup di Bandar Triang di sini semalam. Barangan itu bernilai kira-kira RM14,000. Rampasan itu merupakan yang terbesar di daerah ini setakat ini tahun ini melibatkan 280 karton rokok dan 155 botol minuman keras.

44.  GEORGETOWN - Seorang pekerja kilang Azwan Hadi Mohd Nor, 36, maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas sebelum masuk laluan bertentangan dan melanggar sebuah van kilang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu berhampiran Queensbay Mall di sini awal hari ini.

45.  KUALA LUMPUR - Pakatan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) akan membawa masuk banyak pekerjaan yang lebih berkualiti selain turut memacu  pelaburan dan perdagangan, kata Kumpulan Bank Dunia. Aspek positif itu adalah disebabkan oleh penetapan standard lebih tinggi dalam  perkongsian berkenaan.

46.  KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen BN didakwa cuba 'membuli' Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar apabila mengundi usul beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, semalam. Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menegaskan tindakan Nurul Izzah itu sepatutnya bukan lagi isu selepas Naib Presiden PKR memohon maaf secara terbuka.

47.  SHAH ALAM – Persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Sarawak dari 71 kepada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) didakwa dilakukan semata-mata untuk menyelesaikan masalah dalaman BN negeri itu. Tanpa pertambahan kerusi itu, BN Sarawak didakwa tidak dapat mengagihkan kerusi kepada parti komponen baharu yang menyertai BN negeri itu pada Disember tahun lepas.

48.  KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati supaya tidak terpedaya dengan penjualan produk prabayar Pos Laju palsu yang dikesan berlaku dalam pasaran. Menurut Pos Malaysia, ia telah mengesan produk prabayar Pos Laju palsu  dijual secara haram di pasaran.

49.  KANGAR - Seorang tukang rumah, Muhamad Asyraf Yakob, 30, dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi Kangar selepas didapati bersalah menyeludup pendatang asing tanpa izin (Pati) bulan lalu. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terbabit dilaksanakan berkuat kuasa mulai tarikh tertuduh ditangkap.

50.  DENGKIL - Lebih 50 peratus daripada 1,020 orang yang ditahan dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini kerana mengedar dan menjual rokok tidak sah adalah warga asing, demikian menurut Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). Tindakan tegas akan dikenakan terhadap peniaga yang menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing yang terlibat dalam penjualan rokok tidak sah.

51.  KUALA NERANG - Seorang petani di Kampung Kubang Kenyeng, Mukim Tekai Kanan, di sini mengalami kerugian hampir RM10,000 apabila tanaman cili yang diusahakan rosak diserang kesing. Petani, Hafiz Tajudin, 31, berkata, pada mulanya dia menyangka tanamannya kurang vitamin kerana daun pokok gugur manakala buahnya bertukar warna hingga sukar untuk dipasarkan.

52.  KULIM - Kira-kira 3,000 penduduk di Taman Sepilai dan Kampung Padang Cina, di sini menggesa kerajaan memasang lampu isyarat di lokasi terbabit malah permohonan dibuat sejak tujuh tahun lalu. Permohonan dibuat sejak 2009 kepada Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Perdana Menteri serta Biro Pengaduan Awam namun tiada tindakan dilakukan.

53.  KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa simpati kepada kerajaan dan rakyat India, terutama kepada mereka yang terjejas banjir di Chennai. Perdana Menteri berkata usaha sedang dilakukan untuk menentukan jumlah rakyat Malaysia yang berada dalam zon banjir itu.

54.  KUALA LUMPUR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan semula pesanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kepentingan untuk mempertahankan presiden seperti yang pernah disebut olehnya pada suatu ketika dahulu.

55.  KOTA BHARU – Sindiket pengedaran dadah jenis kodein dikesan kembali aktif di negeri ini apabila serbuan Unit Task Force di sebuah rumah di Jalan Telipot, di sini, kelmarin, menemukan cecair berkenaan di rumah itu. Serbuan jam 11 pagi terbabit turut membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 44 dan 25 tahun.

56.  KUALA TERENGGANU – ‘Tidak perlu terlalu ‘bossy’, walaupun berada di atas kita perlu turun ke bawah. Walaupun bos, tidak semestinya kita tidak boleh buat apa yang anak buah buat,’ demikian kata Pemenang Anugerah Khas Pengarah Risda Negeri (PRN), Pegawai Risda Daerah (PRD) Terbaik yang dimenangi PRD Marang/Kuala Terengganu, Muhammad Mustapha, 26.


No comments:

Post a Comment