Tuesday, June 30, 2015

Kuliah Madinah: Rasulullah membangunkan sistem Islam, bukan mengIslamkan sistem.


Islam adalah dinul hayah, iaitu cara hidup atau sistem yang meliputi seluruh persoalan hidup. Sesuai dengan makna Islam itu selamat dan sejahtera, setiap sistem yang ditegakkan mengikut kehendak Islam akan membawa kepada selamat dan sejahtera malah akan membuahkan serta menyerlahkan keindahan, keagungan serta kehebatannya.

Sebaik hijrah ke Madinah, Rasulullah ﷺ telah bertindak menyatukan umat Islam dengan iman dan ukhwah (persaudaraan). Dipersaudarakan antara puak-puak hingga tidak ada lagi permusuhan tradisi. Selepas proses ini berjaya, Rasulullah ﷺ mengatur strategi membangunkan kekuatan ekonomi umat Islam. Rasulullah berusaha memerdekakan umat Islam dari cengkaman lintah darat Yahudi. Waktu itulah dicetuskan Suqul Ansar atau pasar orang Ansar.

Abdul Rahman Auf r.a dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan ekonomi umat Islam. Kaum Ansar dan Muhajirin menggembleng tenaga untuk mewujudkan rangkaian ekonomi umat Islam. Untuk itu mereka berkorban habis-habisan. Tidak timbul lagi sentimen perkauman di antara mereka. Sedikit demi sedikit umat Islam mula melepaskan diri dari bergantung hidup dengan orang Yahudi.

Dapat kita faham di sini, Rasulullah ﷺ membina atau menghidupkan Islam dalam kehidupan, termasuk sistem ekonomi atau muamalah secara Islam yang diredhai Allah. Rasulullah tidak sekali-kali bersekongkol dengan sistem kuffar kapitalis yang sedia ada di Madinah ketika itu.

Kita lihat hari ini, ada orang berjuang untuk mengIslamkan sistem yang dibina oleh orang lain. Sebagai contoh, sistem pendidikan yang sekular, hendak diIslamkan. Rasulullah ﷺ tidak tumpang cara pendidikan orang Yahudi, tetapi Rasulullah ﷺ membangunkan pendidikan sendiri.

Begitu juga dalam perkara-perkara yang lain, sepatutnya umat Islam kini berjuang membina segala sudut kehidupan secara Islam, bukan tunggu untuk Islamkan apa yang orang lain telah bina.

Kekuatan iman dan perpaduan adalah kekuatan asas, manakala ekonomi adalah kekuatan sokongan yang utama. Amat ketara dalam kehidupan hari ini, akan berlaku kecacatan dan kepincangan jika lemah dalam ekonomi, lebih-lebih lagi jika disertai dengan lemah iman dan perpaduan di kalangan masyarakat Islam. Lemah iman dan lemah perpaduan serta lemah ekonomi akan membawa kepada kehinaan hidup di dunia dan di akhirat.

Sebelum itu kekuatan ekonomi dimonopoli oleh kaum Yahudi. Yahudi adalah bapa kapitalis pada waktu itu. Orang Yahudi menguasai kesemua ladang-ladang dan bahan mentah. Kesemua hasil pencarian penduduk mereka borong dengan harga yang murah dan menjualnya semula dengan harga yang berlipat ganda.

Perniagaan Yahudi kembali bertapak di Madinah. 
Gambar: Starbucks di belakang Masjid Nabawi.

Ada di kalangan umat Islam di peringkat awal kebangkitan Islam itu yang menjadi pekerja-pekerja di ladang Yahudi dengan dibayar upah yang rendah. Orang Yahudi juga mengenakan kadar faedah  yang tinggi bila memberi pinjaman wang menyebabkan orang-orang miskin terikat dengan mereka. Rasulullah ﷺ bertindak memerdekakan para sahabat yang menjadi hamba yahudi ketika itu.

Apabila Yahudi melihat orang Islam mula bertapak dalam bidang ekonomi, mereka mula bertindak melaga-lagakan di antara satu puak dengan yang lain seperti yang berlaku ketika peperangan Khandak. Dalam semua keadaan, laluan bagi Yahudi untuk memporak perandakan umat Islam ialah orang munafiq. Orang munafiq menjadi jambatan kerana mereka berpura-pura menjadi orang Islam atau orang yang menzahirkan keIslaman tetapi menyembunyikan kekufuran di dalam hati.

Hal ini menyebabkan ekonomi orang Islam di Madinah di zaman awal itu tidak meningkat. Orang Yahudi menguasai punca air ketika itu. Orang Islam yang ingin menggunakan air mesti membayar kepada Yahudi. Keadaan ini membuatkan mereka terpaksa bergantung hidup dengan Yahudi. Hijrahnya kaum muslimin ke Madinah amat menggembirakan kapitalis Yahudi itu kerana ia mendapat peluang untuk memperolehi wang yang banyak dari hasil penjualan air periginya.

No comments:

Post a Comment