Thursday, June 25, 2015




Relevankah peranan institusi zakat kepada OKU? – Ram Al Jaffri Saad

Pendedahan mengenai isu seorang remaja Orang Kurang Upaya (OKU), adik Muhammad Firdaus Dullah oleh media massa mendapat perhatian ramai. Ia menzahirkan rasa marah, geram dan keliru masyarakat dengan apa yang terjadi.
Sebelum ini kita mungkin sudah biasa dengan pendedahan kes penderaan kanak-kanak, namun kali ini ia agak berbeza. Kes ini agak unik memandangkan ia melibatkan ibu dan anak kandung. Sudah puas penulis cuba bersangka baik dalam hal ini namun akhirnya setelah pendedahan demi pendedahan dilakukan, perasaan itu tidak mampu dipertahankan lagi.
Setelah pendedahan ini dilakukan, ramai pihak cuba menuding jari kepada agensi dan badan tertentu tentang peranan mereka untuk membela golongan teraniaya ini. Pihak seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan institusi zakat merupakan antara yang mendapat kritikan hebat.
Namun, selang beberapa hari selepas peranan JKM diperlekehkan, muncul wakilnya yang bertindak mempertahankan agensi mereka. Setidak-tidaknya masyarakat digesa hadir sendiri ke pejabat JKM bagi mengetahui aktiviti yang mereka lakukan.
Anehnya, sepanjang pembacaan penulis, tiada seorang pun wakil daripada institusi zakat di seluruh negara bangun mempertahankan institusi mereka. Ini menyebabkan masyarakat tertanya-tanya apakah peranan institusi zakat dalam hal ini.
Antara persoalan yang timbul, adakah benar institusi zakat gagal memainkan peranan mereka? Adakah benar dakwaan mengenai pegawai zakat hanya berpeluk tubuh duduk di kerusi empuk pejabat yang dilengkapi hawa dingin tanpa turun padang mencari asnaf untuk dibantu?
Penulis percaya dan yakin banyak kejayaan dicapai oleh institusi zakat. Masyarakat tidak boleh menafikan hal ini. Dengan kutipan yang mencecah lebih RM1 bilion setiap tahun, tentu banyak manfaat diperolehi golongan asnaf yang memerlukan.
Berjuta-juta ringgit diberikan melalui program yang dilaksanakan dalam membantu golongan asnaf. Bentuk agihan juga ditransformasi dalam memastikan bantuan yang diberikan mampu mengubah taraf hidup asnaf. Mudah-mudahan suatu hari nanti mereka akan keluar daripada menjadi asnaf zakat kepada menjadi pembayar zakat.
Dakwaan pegawai zakat tidak turun padang adalah sesuatu yang silap. Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman penulis bersama rakan di beberapa institusi zakat, penulis berani mengatakan mereka sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk masyarakat. Banyak program turun padang yang dilakukan.
Sebagai contoh, Pusat Zakat Negeri Sembilan (PZNS) pernah menganjurkan program konvoi kembara zakat bagi memberikan bantuan secara terus kepada asnaf dengan membuat kunjungan ke rumah mereka. Antara bentuk bantuan yang diberikan adalah bantuan perubatan, barang keperluan harian, kerusi roda serta katil untuk kegunaan asnaf yang memerlukan. Konvoi tersebut bukan sahaja disertai oleh pusat zakat malah turut bersama-sama mereka adalah baitulmal negeri dan pusat kaunseling.
Selain itu, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri-Negeri dan Pusat Zakat Negeri-Negeri mengadakan Konvoi Kembara Zakat Kebangsaan di seluruh negara pada tahun lepas. Antara institusi zakat yang mengambil bahagian ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Pusat Zakat Melaka dan Majlis Agama Islam Johor.
Penganjuran konvoi tersebut bertujuan menghebahkan aktiviti agihan zakat kepada masyarakat. Dengan itu, ukhuwah antara institusi zakat dan para asnaf zakat juga dapat dipupuk dan diperkukuhkan.
Penulis juga mengkagumi usaha pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang sanggup mengayuh basikal mengelilingi seluruh negeri bagi menyalurkan bantuan zakat.
Dalam program kayuhan basikal tersebut, pegawai zakat membawa bantuan bersama-sama mereka dan terus memberikan bantuan tersebut apabila mereka bertemu asnaf di kampung atau taman perumahan.
Usaha ini sedikit sebanyak membuktikan institusi zakat turun padang bagi menjejaki asnaf. Usaha ini juga menunjukkan mereka sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan pada bila-bila masa.
Bagaimanapun, di sebalik usaha yang dijalankan ini, penulis berpandangan masih ada ruang kelemahan yang boleh diperbaiki. Institusi zakat disaran perlu lebih proaktif dalam mendepani isu semasa masyarakat.
Sebagai contoh, takrifan semula asnaf zakat bagi orang OKU perlu dilakukan. Pada masa ini, OKU bukanlah tergolong sebagai asnaf zakat kecuali sekiranya mereka tergolong sebagai fakir miskin. Jika takrifan baharu golongan asnaf riqab sebagai golongan yang terperangkap dalam isu sosial boleh dilaksanakan, mengapa tidak bagi golongan OKU?
Institusi zakat juga boleh mewujudkan pusat jagaan khas untuk golongan ini. Penulis dimaklumkan ada gereja dan NGO Kristian yang menyediakan pusat penjagaan dan perlindungan untuk golongan OKU di negara kita. Justeru, sudah pasti ramai pembayar zakat di luar sana menginginkan langkah yang sama dituruti dan dijuarai oleh institusi zakat.
Sebagai kesimpulannya, isu OKU adalah isu nasional yang wajar diberikan perhatian oleh semua pihak. Isu ini janganlah hanya sekadar bermusim. Ia perlu sentiasa diberi perhatian serius.
Bagi institusi zakat, ingatlah masyarakat menyanjung tinggi usaha yang dilakukan. Namun, adalah menjadi harapan agar institusi ini menjadi lebih proaktif. Semoga masalah ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.


* Penulis ialah Pensyarah Kanan Perakaunan Islam, Pusat Pengajian Perakaunan, Universiti Utara Malaysia.

No comments:

Post a Comment